Tiada jawapan k'jaan, penuntut farmasi terpaksa balik Mesir
Seorang penuntut program farmasi di Universiti Alexandria kembali ke Mesir untuk menjalani latihan praktikal sementara menunggu keputusan berhubung permohonannya menduduki peperiksaan di bawah Lembaga Farmasi Malaysia (LFM), menurut ibunya.
Noor Haslina Abdullah berkata anaknya, Nurul Izzah Afifah Mustapha sudah berlepas ke Mesir untuk latihan di Hospital Andalusia Alexandria yang dijadual bermula pada 4 Okt.
Menurut Noor Haslina, dia sudah mengemukakan permohonan dan rayuan kepada menteri kesihatan, tetapi masih menunggu keputusan.
“Permohonan dah buat, rayuan pun dah,” dakwanya pada hantaran di Facebook hari ini.
Isu pengiktirafan program farmasi Universiti Alexandria, yang membabitkan empat penuntut Malaysia, mendapat perhatian Perdana Menteri Anwar Ibrahim sebelum ini.
Pada 5 Jun, Pejabat Perdana Menteri mengarahkan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan Kementerian Kesihatan (KKM) menyegerakan penyelesaian isu itu. Pengiktirafan profesional untuk pendaftaran sebagai ahli farmasi memerlukan pertimbangan dan persetujuan LFM.
Pada 11 Jun, KKM pula menyatakan kelayakan pelajar yang terjejas akan dipertimbangkan secara individu di bawah Akta Pendaftaran Ahli Farmasi 1951. Menurut kementerian itu, program baru Universiti Alexandria belum melalui proses penilaian dan pengiktirafan LFM.
Sementara itu, Noor Haslina berkata keputusan menghantar anaknya kembali ke Mesir turut membebankan kewangan keluarga.
"Dengan rasa berat hati dan kewangan pun tak berapa kukuh... apapun ambil tanggungjawab bayar apa yang mampu.
"Kali ni kos pula AS5,600 untuk praktikal sahaja tak termasuk tambang, rumah sewa, tapi sebagai ibu dan bapa yang nak lihat anaknya berjaya pasti dan wajib untuk selesaikan demi kerjaya anak," tulisnya.
Malaysiakini sedang mendapatkan maklum balas menteri kesihatan berhubung status permohonan itu.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2026/05/4179e0d48c1b6223c0f6b6bedf20ee9e.jpg)
