Rabies: 18 anjing diambil sampel, tunggu keputusan makmal - DVS
Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) Kedah telah mengambil sampel daripada 18 ekor anjing di Changlun, Kedah, dan kawasan sekitarnya untuk ujian pengesahan rabies setakat semalam, susulan kes seorang lelaki digigit anjing liar atau terbiar di kawasan itu.
DVS dalam kenyataan hari ini memaklumkan kes melibatkan lelaki berumur 31 tahun itu diterima daripada Jabatan Kesihatan Negeri Kedah pada 24 Sept lepas, dan DVS Kedah telah menjalankan siasatan di lokasi kejadian selain operasi menangkap anjing liar dengan kerjasama Majlis Perbandaran Kubang Pasu bagi mengesan anjing disyaki serta menilai kemungkinan kewujudan virus rabies.
"Setakat 28 Sept 2026, sebanyak 18 ekor anjing dari kawasan lokasi kejadian gigitan dan sekitarnya telah diambil sampel untuk ujian pengesahan rabies. DVS Kedah masih menjalankan siasatan lanjut dan menunggu keputusan makmal bagi mengesahkan sama ada terdapat penyakit rabies," menurut kenyataan itu.
DVS memaklumkan Changlun terletak dalam lingkungan zon penampan rabies atau immune belt sepanjang 50 kilometer dari sempadan Thailand.
"Di kawasan ini, semua anjing bertuan diwajibkan menerima vaksinasi rabies di bawah Akta Binatang 1953. Langkah ini dilaksanakan bagi mengurangkan risiko penularan rabies ke kawasan lain. Sehingga Ogos tahun ini, sebanyak 504 ekor anjing bertuan di daerah Kubang Pasu, manakala 1,349 ekor anjing bertuan di seluruh Kedah telah diberikan suntikan vaksin rabies," menurut kenyataan itu.
Dalam pada itu, DVS Kedah turut meneruskan program pengawasan rabies di semua daerah dengan 164 sampel diuji setakat Ogos serta kesemuanya didapati negatif rabies, dan aktiviti pemantauan serta pensampelan juga dipertingkatkan di semua kawasan bersempadan dengan Thailand bagi memastikan tiada penularan wabak rabies di negara ini.
Rabies atau penyakit anjing gila menyerang sistem saraf dan boleh membawa maut, manakala anjing yang dijangkiti boleh menunjukkan perubahan tingkah laku seperti menjadi agresif atau terlalu jinak, gelisah, mengasingkan diri serta menyalak atau menggigit tanpa provokasi.
Antara gejala lain ialah lemah, hilang koordinasi pergerakan, sukar menelan, mengeluarkan air liur berlebihan dan lumpuh sebelum akhirnya mati.
Sehubungan dengan itu, DVS mengingatkan orang ramai supaya tidak mendekati, menyentuh atau mengendalikan anjing liar atau terbiar, anjing sakit atau haiwan yang menunjukkan perubahan tingkah laku luar biasa.
DVS memaklumkan individu yang digigit atau dicakar anjing atau haiwan lain yang disyaki membawa rabies pula dinasihatkan mencuci luka menggunakan sabun dan air mengalir sekurang-kurangnya 15 minit serta mendapatkan rawatan segera di fasiliti kesihatan walaupun luka kelihatan kecil.
“Laporkan kejadian gigitan kepada Pejabat Perkhidmatan Veterinar berhampiran bagi membolehkan siasatan dan tindakan susulan dijalankan serta pastikan anjing bertuan menerima vaksinasi rabies mengikut arahan DVS dan tidak dilepaskan berkeliaran,” menurut kenyataan itu.
DVS Kedah akan terus bekerjasama dengan Jabatan Kesihatan Negeri Kedah, pihak berkuasa tempatan dan agensi berkaitan dalam pemantauan, siasatan serta pelaksanaan tindakan kawalan bagi melindungi kesihatan haiwan dan kesihatan awam.
Orang ramai di Kedah boleh menyalurkan maklumat atau membuat laporan kepada Pusat Operasi Lapangan di Pejabat Perkhidmatan Veterinar Daerah Kubang Pasu menerusi talian 04-916 2207 atau Pusat Operasi Negeri melalui talian 04-702 5336.
Mereka yang berada di luar Kedah, laporan boleh dibuat kepada Pejabat Perkhidmatan Veterinar berhampiran atau menerusi talian hotline DVS 03-8870 2041.
- Bernama
/file/1127/4f8d8d99000d19cdd60ed3332e38c99c.jpeg)
