Allahyarhamah Dr Hasmah Mohamad Ali kelihatan "agak sihat" sehari sebelum pemergiannya semalam, menurut bekas Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

Dalam satu video yang dikongsi di media sosial tokoh yang berusia 101 tahun itu, Mahathir berkata, dia tidak menyangka isterinya itu akan meninggal dunia semalam kerana melihat keadaannya ketika itu.

“Dia agak sihat malam tadi (Ahad)," katanya dalam perbualan ringkas dengan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah, ketika baginda berangkat untuk memberikan penghormatan terakhir semalam.

"Allah SWT lebih menyayanginya," titah Sultan Abdullah (gambar bawah), yang diiringi oleh permaisuri baginda, Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, serta anakanda baginda, Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.

Bekas Perdana Menteri itu mengucapkan terima kasih kepada kerabat diraja tersebut kerana datang dari Pahang untuk menyampaikan ucapan takziah dan memberikan penghormatan terakhir kepada Hasmah.

"Tun (Mahathir) kena jaga diri," tambah Al-Sultan Abdullah.

Hasmah menghembuskan nafas terakhir pada kira-kira jam 9.25 pagi di Institut Jantung Negara (IJN) semalam. Beliau baru saja berusia 100 tahun pada Julai lalu. Beliau diberikan penghormatan istiadat pengebumian negara dan disemadikan di Pusara Negara, Putrajaya.

Anak lelaki ketiga pasangan itu, Mokhzani, berkata semalam bahawa keluarga mereka berada di sisi Hasmah di IJN dan kelihatan dalam keadaan ceria pada malam sebelum meninggal dunia, namun kesihatannya merosot secara mendadak pada keesokan harinya.