Musim sejuk akan tiba, mampukah 3 gajah kita bertahan di Osaka?
Ketika musim sejuk Jepun semakin hampir, aktivis mendesak kerajaan segera membawa pulang Dara, Amoi dan Kelat (DAK), bimbang tiga gajah yang berasal dari iklim tropika Malaysia itu tidak dapat menyesuaikan diri dengan cuaca dingin di Osaka, Jepun.
Peguam yang mewakili empat aktivis, Rajesh Nagarajan, 51, berkata mereka bimbang gajah-gajah itu akan berdepan cuaca yang jauh berbeza.
“Sekarang dah hampir bulan Oktober. Nanti bulan November dan Disember merupakan musim dingin. Bagaimana gajah ini nak tahan dengan sejuk?
“Mereka tidak pernah hidup dalam iklim sebegini. Mereka hanya biasa dengan iklim di Malaysia,” katanya pada sidang media di Petaling Jaya hari ini.
/file/attachments/orphans/gajah1_869211.png)
Rajesh merayu Perdana Menteri Anwar Ibrahim supaya campur tangan dan memastikan DAK dibawa pulang secepat mungkin.
“Kami memohon jasa baik perdana menteri untuk memastikan ketiga-tiga gajah kita dipulangkan ke tanah air sebelum musim dingin bermula di Jepun,” katanya.
Aktivis Shereen Yunos, 58, pula mendakwa keadaan tempat tinggal DAK di Zoo Tennoji tidak sesuai untuk gajah tersebut, khususnya ketika cuaca panas.
Menurutnya, kawasan itu kekurangan tempat berteduh dan tidak mempunyai tempat mandi lumpur yang mencukupi, sedangkan kedua-duanya penting bagi membantu gajah melindungi diri daripada panas.
“Di dalam hutan, ada teduhan semula jadi, iaitu pokok tinggi-tinggi. Teduhan semula jadi ini sangat penting untuk gajah.
“Lepas itu tak ada kolam lumpur. Mereka menggunakan lumpur untuk melindungi diri daripada panas terik. Mana lumpurnya?” kata Shereen di sidang media hari ini.
Shereen turut mendakwa kolam di kawasan gajah itu kotor dan terlalu cetek untuk membolehkan haiwan berkenaan berendam dengan selesa.
Dia juga mendakwa berat badan Kelat, gajah jantan dalam kumpulan itu, telah susut kira-kira 100 kilogram.
Bagaimanapun, dakwaan mengenai penurunan berat badan dan keadaan kesihatan Kelat itu belum disertakan dengan hasil pemeriksaan veterinar terkini dalam sidang media berkenaan.
Ketika ditanya asas dakwaan mengenai keadaan DAK, Shereen berkata pihaknya merujuk video yang dimuat naik oleh Zoo Tennoji serta rakaman pengunjung Malaysia yang melawat zoo tersebut.
“Ramai rakyat Malaysia telah pergi sendiri ke Osaka, melawat zoo itu dan berkongsi video dengan orang ramai,” katanya.
Dara, Amoi dan Kelat dipindahkan dari Zoo Taiping & Night Safari ke Zoo Tennoji pada Mac lalu menerusi program kerjasama antara kedua-dua zoo.
Pada sidang media sama, Rajesh berkata pihaknya akan memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk mendapatkan dokumen berkaitan pemindahan itu, sebelum mengambil tindakan undang-undang bagi membawa pulang ketiga-tiga gajah berkenaan.
Lapor komen ini
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2026/05/692b6c70d14c7c9d0600485cac458b4b.jpg)

Anda pasti mahu padam komen ini?
Komen anda tidak akan boleh dikembalikan semula.