Sekumpulan aktivis memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini bagi mendapatkan perjanjian serta dokumen berkaitan pemindahan tiga gajah Malaysia yang dikenali sebagai Dara, Amoi dan Kelat (DAK), ke Zoo Tennoji di Osaka, Jepun.

Salah seorang peguam mereka, Rajesh Nagarajan, 51 berkata permohonan penzahiran dokumen pratindakan (pre-action discovery) itu dibuat selepas Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) serta Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) enggan menyerahkan dokumen yang diminta.

Menurutnya, kedua-dua pihak berkenaan memaklumkan bahawa dokumen tersebut diklasifikasikan di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972 (OSA).

“Kita telah menunggu dengan sangat sabar untuk begitu lama. Ketiga-tiga gajah itu telah dihantar ke Jepun pada Mac dan masih tiada penyelesaian.

“Apabila kita memohon untuk mendapatkan dokumen daripada pejabat kerajaan, kita tidak dibekalkan,” katanya pada sidang media di Petaling Jaya hari ini.

Rajesh mewakili aktivis Shereen Yunos, 58, bersama tiga aktivis lain yang mahu mengetahui proses dan asas pemindahan DAK ke Jepun.

Dia menjelaskan bahawa permohonan tersebut dibuat sebelum saman utama difailkan kerana pihaknya memerlukan dokumen berkenaan untuk menentukan asas tindakan undang-undang.

“Biasanya kita akan memfailkan permohonan penzahiran dokumen selepas suatu guaman difailkan di mahkamah.

“Tetapi dalam kes ini, ia terbalik. Kita memfailkan permohonan penzahiran dokumen sebelum guaman difailkan,” katanya.

Menurut seorang lagi peguam yang mewakili aktivis berkenaan, Sachpreetraj Singh, 37, antara dokumen yang dimohon ialah salinan penuh kontrak atau perjanjian antara pihak berkuasa Malaysia dengan Zoo Tennoji berkaitan pemindahan DAK.

Mereka turut memohon rekod pembayaran atau transaksi kewangan, laporan veterinar dan sijil kesihatan, rekod kastam serta permit dan surat kelulusan pemindahan.

Malaysian elephant elephants in JP Japan zoo Tennoji Zoo 060526

Selain itu, pihaknya mahu mendapatkan rekod rasmi Zoo Taiping mengenai asal-usul, pemilikan, pendaftaran dan penjagaan ketiga-tiga gajah tersebut sebelum dipindahkan.

Sachpreetraj berkata dokumen itu diperlukan kerana pihaknya percaya masih terdapat persoalan yang belum terjawab berhubung pemindahan tersebut.

“Kita mempunyai asas yang kukuh untuk mempercayai ada udang di sebalik batu. Ada perkara yang kita tidak tahu mengenai pemindahan DAK,” katanya.

Pertikai penggunaan OSA

Mengulas lanjut, Rajesh berkata pihaknya menulis kepada NRES dan Perhilitan pada 8 September bagi mendapatkan dokumen berkenaan.

Katanya, NRES menjawab permohonan itu pada 14 September, diikuti Perhilitan sehari kemudian, dengan kedua-duanya menyatakan bahawa dokumen tersebut tertakluk kepada Akta Rahsia Rasmi 1972 (OSA).

Rajesh mempertikaikan alasan itu kerana menurutnya, isu pemindahan tiga gajah tidak mempunyai kaitan dengan keselamatan negara.

“Ini isu mengenai tiga ekor gajah. Apa yang mereka mahu katakan berkaitan dengan Akta Rahsia Rasmi?

“Ini merupakan alasan yang diberikan kementerian dan Perhilitan supaya mereka tidak membekalkan dokumen kepada rakyat,” dakwanya.

Menurut Rajesh, pengelasan dokumen di bawah OSA tidak menghalang dokumen tersebut daripada dikemukakan kepada mahkamah.

Katanya, mahkamah boleh meneliti dokumen berkenaan dan menentukan sama ada ia benar-benar wajar diklasifikasikan sebagai rahsia rasmi.

Malaysian elephant elephants in JP Japan zoo Tennoji Zoo 060526

Rajesh berkata pihaknya juga mahu mengetahui pegawai dan menteri yang memberikan kelulusan bagi pemindahan DAK, selain memastikan sama ada terdapat sebarang pembayaran dalam urusan tersebut.

Dia mendakwa wujud percanggahan antara penjelasan pihak berkuasa mengenai sifat perjanjian itu dan kemungkinan berlakunya transaksi kewangan.

“Kalau tiada pertukaran wang, tolong maklumkan. Kalau ada pertukaran wang, tolong maklumkan juga. Kita mesti ada ketelusan,” katanya.

Saman sivil selepas memperoleh dokumen

Selepas memperoleh dokumen berkenaan, Rajesh berkata pihaknya bercadang memfailkan saman sivil terhadap NRES, Perhilitan, Majlis Perbandaran Taiping (MPT) dan Zoo Taiping.

Melalui saman itu, mereka akan memohon deklarasi bahawa kelulusan pemindahan DAK menyalahi undang-undang dan perlu dibatalkan.

“Apabila kebenaran itu dibatalkan, mereka tidak lagi mempunyai kebenaran untuk menghantar gajah tersebut. Ini bermakna gajah-gajah itu mesti dikembalikan.

“Untuk membuktikan bahawa pemindahan itu menyalahi undang-undang, kita memerlukan semua dokumen ini,” katanya.

Rajesh menganggarkan permohonan penzahiran dokumen itu mengambil masa antara tiga hingga enam bulan untuk diselesaikan.

Pihaknya berharap permohonan tersebut dapat diputuskan selewat-lewatnya pada Februari atau Mac tahun depan, sebelum saman sivil difailkan.

Dia bagaimanapun berkata semua tindakan mahkamah akan ditarik balik sekiranya kerajaan membawa pulang DAK lebih awal.

“Matlamat akhir kita adalah untuk membawa gajah-gajah itu kembali ke Malaysia. Sebaik sahaja mereka pulang, semuanya selesai,” katanya.

Sementara itu, Shereen berkata tindakan mahkamah dipilih selepas pelbagai usaha termasuk petisyen, demonstrasi dan penyerahan dua laporan pakar kepada NRES tidak menghasilkan keputusan yang diharapkan.

“Saya beberapa kali cuba meminta berjumpa dengan menteri, Datuk Seri Arthur (Joseph Kurup, Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam) , tetapi tidak dilayan.

“Demi Dara, Amoi dan Kelat, kami sebagai aktivis dan rakyat Malaysia terpaksa melalui mahkamah kerana inilah satu-satunya cara untuk mendapatkan jawapan daripada kerajaan dan agensi yang terlibat,” katanya.

Dara, Amoi dan Kelat dipindahkan dari Zoo Taiping ke Zoo Tennoji pada Mac lalu menerusi program kerjasama konservasi antara kedua-dua zoo.

Pemindahan itu mencetuskan bantahan aktivis dan sebahagian orang ramai yang mempersoalkan proses pemindahan, ketelusan perjanjian serta keadaan kebajikan ketiga-tiga gajah berkenaan di Jepun.