‘Kerajaan tak berfungsi, lantikan JPKK dan ahli majlis tergantung’
Kerajaan Negeri Sembilan seolah-olah tidak berfungsi dengan berkesan akibat kemelut pentadbiran yang berpanjangan, manakala pelantikan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) serta ahli majlis masih tergantung, menurut PKR negeri.
Majlis Pimpinan Negeri PKR Negeri Sembilan berkata ketidaktentuan pentadbiran berhubung kedudukan exco berpotensi melambatkan urusan penting yang memerlukan pertimbangan dan kelulusan pihak berkuasa negeri.
Menurut kenyataan itu, keadaan berkenaan boleh menjejaskan urusan pelaburan, pembangunan, kelulusan dan pindah milik tanah serta pelaksanaan projek.
"Walaupun jentera perkhidmatan awam masih mempunyai tanggungjawab untuk meneruskan tugas, ketidaktentuan dalam kepimpinan dan proses membuat keputusan boleh menimbulkan kekeliruan dalam kalangan penjawat awam, pelabur, pihak berkuasa tempatan dan rakyat," katanya.
PKR Negeri Sembilan berkata JPKK dan ahli majlis merupakan penghubung penting antara kerajaan dengan rakyat di peringkat akar umbi.
Katanya, jika pelantikan dan fungsi institusi berkenaan terus tergantung, penduduk kampung dan komuniti setempat berisiko kehilangan saluran perwakilan serta penyelarasan yang berkesan.
Sementara itu, PKR Negeri Sembilan juga menzahirkan rasa kecewa terhadap tindakan dan pendirian Menteri Besar Ismail Lasim yang tidak selari dengan titah Yang di-Pertuan Besar Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.
Parti itu menggesa semua pemimpin politik mengutamakan kebijaksanaan, mengelakkan kenyataan yang boleh meningkatkan ketegangan serta memberi ruang kepada proses perlembagaan dan undang-undang untuk menyelesaikan kemelut berkenaan.
/file/attachments/orphans/WhatsApp-Image-2026-09-17-at-9454_342982.jpg)
