Tangani isu keselamatan, jangan sekat konsert Kristian - Bekas KM Sabah
Polis sepatutnya menguruskan kebimbangan keselamatan supaya konsert yang dirancang oleh penyanyi gospel atau kerohanian Kristian Amerika Syarikat, Israel Houghton, dapat diteruskan, kata bekas ketua menteri Sabah, Salleh Said Keruak.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Jauteh Dikun, sebelum ini menasihatkan agar konsert oleh kumpulan Houghton, Israel & New Breed, ditangguhkan berikutan kebimbangan mengenai nama serta sokongannya terhadap negara Zionis itu.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2024/12/d573871e25328bd515afdcb062e1f619.jpg)
Sekurang-kurangnya dua laporan polis dibuat terhadap acara itu, yang penganjurnya mula mengiklankannya walaupun belum mengemukakan dokumen yang diperlukan.
Dalam satu kenyataan hari ini, Salleh berkata kebimbangan Jauteh perlu diambil perhatian serius, namun semua faktor perlu dipertimbangkan memandangkan Houghton mempunyai pengikut dalam kalangan masyarakat Kristian di Sabah.
“Sabah sentiasa terkenal dengan toleransi agama dan kehidupan bersama secara aman dalam kalangan masyarakatnya yang berbilang kaum. Ini ialah tradisi yang wajar dipelihara.
“Jika kebimbangan keselamatan dapat diuruskan secara munasabah, penekanan patut diberikan untuk memastikan konsert itu dijalankan secara bertanggungjawab dan aman, berbanding menghalangnya daripada diadakan sama sekali,” kata ahli politik Umno itu.
/file/attachments/orphans/IsraelHoughton1_454506.png)
Houghton, pemenang Anugerah Grammy lapan kali, dijadualkan membuat persembahan di Sabah akhir bulan ini.
Terdapat maklumat bercanggah pada halaman media sosial kumpulannya yang mengiklankan konsert itu pada 22 Okt, manakala tangkap layar daripada platform penjualan tiket menyatakan ia akan diadakan pada 25 Okt.
/file/attachments/orphans/SallehKeruakddd_247848.png)
