‘Kemelut pentadbiran Negeri Sembilan jejas ekonomi dan kepentingan rakyat’
Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Parti Keadilan Rakyat (PKR) Negeri Sembilan mengharapkan kemelut institusi dan pentadbiran negeri ini dapat segera diselesaikan untuk memastikan pentadbiran kerajaan serta kepentingan rakyat tidak terus terjejas.
Pengerusinya Aminuddin Harun berkata perkembangan semasa bukan sahaja melibatkan persoalan perlembagaan dan institusi diraja, malah juga menimbulkan kebimbangan terhadap kelangsungan pentadbiran, kestabilan ekonomi serta kesejahteraan rakyat.
Bekas menteri besar itu berkata ketidaktentuan berkaitan kedudukan anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) boleh melambatkan urusan penting yang memerlukan pertimbangan dan kelulusan pihak berkuasa negeri.
"Urusan pelaburan, pembangunan, kelulusan dan pindah milik tanah serta pelaksanaan projek berpotensi terkesan dan boleh menjejaskan keyakinan pelabur, menyukarkan urusan pemilik tanah dan peniaga, serta memberikan kesan kepada peluang pekerjaan dan pendapatan rakyat.
"Pelantikan dan fungsi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) serta anggota majlis juga tidak boleh terus tergantung kerana kedua-dua ini menjadi penghubung antara kerajaan dengan rakyat pada peringkat akar umbi dan berisiko kehilangan saluran perwakilan serta penyelarasan yang berkesan," katanya menerusi Facebook di Seremban hari ini.
Anggota parlimen Port Dickson itu berkata keadaan semasa turut menimbulkan persepsi bahawa kerajaan negeri seolah-olah tidak berfungsi dengan berkesan akibat pertikaian berpanjangan.
Aminuddin berkata semua pemimpin politik perlu mengutamakan kebijaksanaan, mengelakkan kenyataan yang boleh meningkatkan ketegangan serta memberikan ruang kepada proses perlembagaan dan undang-undang untuk menyelesaikan kemelut berkenaan.
Semalam Menteri Besar Ismail Lasim menghadap Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir hampir tiga jam di Istana Hinggap di Seremban.
Pertemuan itu difahamkan susulan isu berkaitan pentadbiran serta kemelut semasa negeri.
Sebelum ini, Tuanku Muhriz membatalkan pelantikan 10 anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Negeri Sembilan yang berkuat kuasa pada 20 Sept dan pembatalan itu diwartakan pada 24 Sept.
Exco terlibat ialah Mohd Faizal Ramli, Zaifulbahri Idris, Mustapha Nagoor, Siow Kong Choon, Siti Nur Umaira Hasim, Mohd Asna Amin, Mohd Razi Mohd Ali, Suhaimizan Bizar, Mohd Fairuz Mohd Isa dan Razali Abu Samah.
- Bernama
/file/attachments/orphans/asdasdasasdasd_912005.png)
