Bekas pengarah besar Felda dituduh kes perdaya tukar hak milik tanah
Bekas Pengarah Besar Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) didakwa di Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur hari ini atas pertuduhan memperdaya Lembaga Pengarah Felda berhubung surat kuasa wakil bagi menukar hak milik 16 bidang tanah milik agensi itu di Jalan Semarak pada 2014.
Bagaimanapun, Datuk Faizoull Ahmad, 66, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Suzana Hussin.
Faizoull sebagai Pengarah Besar Felda didakwa memperdayakan Lembaga Pengarah dengan menyembunyikan fakta bahawa surat kuasa wakil bertarikh 3 Jun 2014 memberikan kuasa kepada Synergy Promenade Sdn Bhd untuk menukar hak milik 16 bidang tanah milik Felda, yang terlibat dalam projek Cadangan Pembangunan Lot Felda di Jalan Semarak.
Perbuatan itu mendorong Lembaga Pengarah Felda bersetuju dengan surat kuasa tersebut yang mengakibatkan tanah-tanah kepunyaan Felda ditukar hak milik kepada Synergy Promenade KLVC Sdn Bhd dan Synergy Promenade Sdn Bhd, dengan Lembaga Pengarah berkenaan tidak akan berbuat demikian sekiranya tidak diperdayakan.
Kesalahan itu didakwa di Kuala Lumpur pada 2 Sept 2014 mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara kurang setahun dan tidak lebih 10 tahun dan sebatan serta denda, jika sabit kesalahan.
- Bernama

