Bekas menteri kewangan Lim Guan Eng hari ini mengulangi desakannya agar pihak berkuasa menyiasat dan mengambil tindakan terhadap Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi berhubung perbelanjaan lebihan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) sebanyak kira-kira RM2.1 bilion berbanding peruntukan yang diluluskan.

Dalam satu kenyataan, dia membuat perbandingan dengan tindakan SPRM baru-baru ini terhadap UiTM kerana menyuntik kira-kira RM259 juta ke dalam syarikat pelaburan milik penuhnya antara 2007 dan 2018 tanpa mendapat kelulusan menteri kewangan.

“Sekiranya SPRM tidak mengambil tindakan kepada Ahmad Zahid dan KKDW kerana kedudukan beliau yang tinggi, maka ia amat tidak adil kepada UiTM kerana tidak ada penguatkuasaan undang-undang yang sama rata.

“SPRM harus bertindak dengan tegas dan cepat kepada KKDW dan Ahmad Zahid agar tidak dilihat sebagai mengamalkan siasatan berpilih dan antara dua darjat.” kata Lim.

Penasihat DAP itu menegaskan bahawa tindakan perlu diambil terhadap Zahid dan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah bagi mengelakkan kementerian lain mengulangi kesalahan sama yang boleh menjejaskan kestabilan kewangan negara.

Kira-kira sebulan lalu, perselisihan antara PH dan BN membawa kepada pertikaian terbuka yang jarang berlaku antara kementerian berhubung isu pembiayaan.

Ia bermula pada lewat Ogos apabila Ahmad Zahid, yang juga menteri KKDW, meluahkan rasa tidak puas hati berhubung pengagihan dana semasa perhimpunan bulanan kementeriannya.

Menurut presiden Umno itu, ramai kontraktor tidak menerima bayaran walaupun telah menyiapkan projek dan mencapai kemajuan yang ditetapkan, lalu mendesak Kementerian Kewangan mempercepatkan pembayaran.

Kementerian Kewangan, yang berada di bawah Perdana Menteri dan pengerusi PH Anwar Ibrahim, bertanggungjawab terhadap pengagihan dana.

Sebagai maklum balas kepada Ahmad Zahid, Ketua Setiausaha Perbendaharaan Johan Mahmood Merican menyatakan tiada sekatan dikenakan ke atas peruntukan jalan luar bandar KKDW yang telah disalurkan sepenuhnya.

Dia turut menggambarkan KKKDW sentiasa berbelanja melebihi bajet, dan berkata Kementerian Kewangan sedang berusaha mengenalpasti penjimatan kos di kementerian lain untuk menampung perbelanjaan berlebihan kementerian berkenaan.

Kementerian Kewangan juga mengeluarkan kenyataan yang memperincikan bagaimana KKKDW melebihi bajet sejak empat tahun lalu.

Meskipun begitu, Zahid menafikan kementerian di bawah seliaannya itu melampaui perbelanjaan.

Minggu lalu, Kementerian Kewangan enggan mengulas apabila ditanya Malaysiakini sama ada pertikaian dengan Zahid itu telah diselesaikan.