Umno NS bidas bekas MB, tuntut dedah minit mesyuarat DKU
Ketika kerajaan Negeri Sembilan pimpinan Umno berdepan desakan berhubung krisis diraja dan pentadbiran negeri yang sedang berlarutan, parti itu membalas kritikan terhadap kerajaan negeri terdahulu dengan mengulangi pendiriannya untuk menangani pertikaian yang "diwarisi".
Ketua Penerangan Umno Negeri Sembilan, Sufian Maradzi mendesak agar minit mesyuarat Dewan Keadilan dan Undang (DKU) Negeri Sembilan bertarikh 17 April dikeluarkan, yang disifatkannya sebagai "titik paling penting" dalam kemelut.
Gesaan itu dibuat di tengah-tengah ketegangan senyap berhubung sama ada Menteri Besar, Ismail Lasim bakal mampu menyelesaikan kemelut yang melanda pihak diraja, adat, dan kerajaan negeri, berikutan pertemuan selama tiga jam bersama Yang di-Pertuan Besar Tuanku Muhriz Tuanku Munawir semalam.
Pertemuan Tuanku Muhriz bersama anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Juasseh itu diadakan di Istana Hinggap, Seremban, beberapa hari selepas kerajaan negeri mewartakan titah untuk membatalkan pelantikan 10 exco negeri yang melanggar sumpah setia kepada baginda.
Semasa menuntut minit mesyuarat DKU tersebut dikeluarkan, Sufian menegaskan bahawa keseluruhan rentetan peristiwa yang membawa Negeri Sembilan ke tahap ini tidak harus "ditafsir secara terpilih," sambil mendakwa pentadbiran negeri terdahulu bawah pimpinan Aminuddin Harun gagal menangani kebimbangan berhubung perkara berkenaan.
“Mengapa rekod yang menjadi asas kepada keputusan sebesar itu tidak dikemukakan ketika pertikaian mula berlaku?” soal Sufian dalam satu kenyataan hari ini.
“Sekiranya rekod tersebut diperjelaskan sejak awal, sebahagian besar kekeliruan, pertikaian institusi dan krisis pentadbiran yang menyusul berkemungkinan dapat dielakkan.
“Adalah tidak wajar untuk membicarakan kesan kemelut hari ini tanpa mengakui bagaimana kemelut tersebut bermula — jangan sampai berlaku keadaan baling batu sembunyi tangan, sedangkan pentadbiran hari ini sedang berhadapan dengan pertikaian yang diwarisi daripada pentadbiran terdahulu,” tegasnya.
Semasa mesyuarat khas DKU pada 17 April lalu, pemimpin adat Sungei Ujong dilapor membentangkan kes mereka untuk memecat Mubarak Thahak sebagai Undang luak berkenaan.
Mesyuarat itu akhirnya membawa kepada tindakan balas Undang Yang Empat memecat Muhriz dan menamakan Tuanku Nadzaruddin Tuanku Ja’afar sebagai pemerintah yang sah.
Sebelum pembubaran Dewan Undangan Negeri pada 5 Jun, empat undang berkenaan turut memulakan tindakan undang-undang bagi mendapatkan minit mesyuarat tersebut. Permohonan itu masih dalam tindakan Mahkamah Tinggi Seremban.
Sambil menegaskan bahawa perkara menyentuh institusi diraja dan struktur pemerintahan negeri tidak seharusnya dijadikan medan untuk "mencipta tekanan politik," Sufian berkata kerajaan negeri perlu diberikan ruang untuk menyelesaikan kemelut ini secara tertib, berperlembagaan dan penuh adab.
“Jika PKR Negeri Sembilan benar-benar mahu melihat kemelut ini diselesaikan, maka mulakan dengan persoalan yang masih menjadi asas kepada keseluruhan krisis: Pihak yang sedang dalam pertikaian menuntut dokumen tersebut dan kerajaan sebelum ini gagal menyelesaikan perkara itu dengan tertib dan beradab.
“Jangan memilih hanya sebahagian daripada naratif yang sesuai dengan kepentingan politik semasa,” katanya.
Awal hari ini, Aminuddin menyuarakan kekecewaan PKR Negeri Sembilan terhadap tindakan dan pendirian Ismail, yang didakwa bertentangan dengan titah Tuanku Muhriz.
Mendedahkan PKR negeri mengadakan mesyuarat berhubung perkara itu malam semalam, bekas menteri besar itu memberi amaran bahawa ketidakpastian dalam pentadbiran negeri mengenai status exco berpotensi melambatkan perkara-perkara penting yang memerlukan pertimbangan pihak berkuasa negeri.
Perkara itu, katanya, termasuk urusan pelaburan, pembangunan, kelulusan dan pemindahan tanah serta pelaksanaan projek.
/file/attachments/orphans/asdaasadasdas_388232.png)
