Serangan seksual: Mahkamah Tinggi dengar soalan awal Anwar
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur akan mendengar soalan awal yang dikemukakan Perdana Menteri Anwar Ibrahim dalam saman serangan seksual yang difailkan oleh bekas pembantunya Yusoff Rawther terhadap dirinya.
Hakim Raja Ahmad Mohzanuddin Shah Raja Mohzan, semasa membenarkan permohonan Anwar hari ini, dengan menekankan bahawa soalannnya bertepatan dengan teras dakwaan Yusoff, iaitu keadaannya pada 2 Oktober 2018.
Yusoff, dalam penyataan tuntutannya, menyatakan dia berada di rumah Anwar dan serangan itu berlaku pada tarikh berkenaan, manakala Anwar, dalam menafikan dakwaan itu, berkata dia berada di rumah bersama anak perempuannya dan menerima kunjungan rakan-rakan pada hari yang didakwa itu.
"Setelah menganalisis penyataan tuntutan, saya mendapati isu utama yang dipertikaikan antara pihak-pihak terbabit terletak dalam Seksyen D, iaitu sama ada insiden yang didakwa pada 2 Oktober itu berlaku atau tidak. (Seksyen seterusnya) bergantung sepenuhnya kepada jawapan kepada soalan tersebut.
"Oleh itu, adalah signifikan bahawa kesemua lima soalan yang dikemukakan dalam (permohonan Anwar) ditujukan terus kepada bahagian kes plaintif ini," kata Raja Ahmad Mohzanuddin, semasa membacakan keputusannya selama lebih dua jam.
Hakim berkata dakwaan Yusoff merujuk kepada rentetan peristiwa, yang mana secara logik, dia berada di rumah itu untuk membolehkan serangan yang didakwa berlaku.
"Ia secara tidak langsung membawa maksud jika peristiwa pertama tidak berlaku, peristiwa kedua juga tidak mungkin berlaku.
"Sehubungan ini, saya menerima bahawa logik yang mendasari (permohonan Anwar) mempunyai asas yang kuat.
"Maka, saya mengarahkan supaya soalan atau isu awal ini ditentukan dalam perbicaraan isu awal, dengan pihak-pihak terbabit memanggil saksi mereka," katanya, sambil menambah Yusoff tidak akan diprejudiskan sekiranya soalan Anwar ditentukan terlebih dahulu.
Dia menambah bahawa saman itu akan diteruskan ke peringkat perbicaraan jika soalan yang dikemukakannya dijawab secara negatif, dan sebaliknya.
Mahkamah turut menolak permohonan Anwar untuk memeriksa soalan-soalan tersebut melalui pertukaran afidavit, sebaliknya mengarahkan agar isu berkenaan didengar di mahkamah terbuka menerusi Zoom memandangkan Yusoff masih berada di United Kingdom.
"Saya dengan ini mengarahkan agar perbicaraan isu awal dijalankan menggunakan teknologi komunikasi jarak jauh, iaitu menerusi Zoom, dan ia kekal terbuka kepada orang awam.
"Pengaturan akses bagi pendengaran menerusi Zoom diserahkan kepada budi bicara hakim terpelajar yang bakal mendengar perbicaraan isu awal tersebut.
"Bagi pihak saya, saya secara hormatnya mencadangkan agar pihak media dibenarkan hadir dan melaporkan prosiding berkenaan. Wakili terdekat bagi setiap pihak juga patut dibenarkan hadir.
"Dalam hal ini, saya perlu menegaskan bahawa pada pandangan saya, prinsip keadilan terbuka tidak memerlukan pendengaran Zoom dibuka kepada jumlah penonton yang tiada had.
"Sama seperti bilik mahkamah fizikal yang hanya mampu menampung jumlah orang awam yang terhad, pendengaran secara dalam talian tidak perlu membenarkan ribuan orang masuk sebelum keperluan keadilan terbuka dapat dipenuhi.
"Kehadiran pihak media sudah memadai untuk memenuhi prinsip keadilan terbuka, di samping membolehkan perbicaraan dijalankan secara teratur."
Dia menambah penggunaan teknologi komunikasi jarak jauh tidak akan menjejaskan keupayaan mahkamah untuk memantau saksi dan menilai perlakuan mereka, memandangkan keterangan akan diberikan secara masa nyata serta diuji melalui pemeriksaan balas seperti lazim.
Yusoff memfailkan saman sivil dia pada 2021, mendakwa Anwar melakukan serangan seksual terhadapnya di kediaman peribadi pemimpin itu pada 2018.
Dia menuntut RM180 bagi setiap sesi terapi, am, khas, teruk dan telada, berserta kos mahkamah, faedah lima peratus setahun ke atas sebarang jumlah penghakiman, serta kos atau ganti rugi sampingan yang lain.
Anggota Parlimen Tambun itu, dalam penyataan pembelaan dan tuntutan balas yang difailkan kemudian pada tahun yang sama, menolak dakwaan tersebut sebagai "palsu dan direkayasa" serta didorong oleh niat untuk mencemarkan imej politiknya.
Dia memfailkan permohonan bagi membangkitkan soalan awal dalam kes berkenaan pada 31 Mac, sambil terus menafikan dakwaan Yusoff dan menyatakan bahawa dia berada di rumah bersama anak perempuannya pada hari yang didakwa itu.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2025/06/482659bb0b606cd67959c8da382b2ec1.jpg)
