Kabinet bersetuju mengecualikan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) daripada pelaksanaan kenaikan gaji minimum baharu buat masa ini.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Steven Sim berkata, kerajaan sebaliknya akan mengambil pendekatan lain bagi membantu meningkatkan gaji pekerja dalam sektor PMKS.

Ini termasuk sokongan subsidi gaji di bawah dasar gaji progresif, yang bertujuan memastikan peningkatan gaji bergerak seiring dengan peningkatan produktiviti.

“Kabinet bersetuju bahawa gaji rakyat perlu terus ditingkatkan. Namun, kita juga perlu melindungi perniagaan tempatan, khususnya PMKS yang sedang berdepan tekanan kos operasi dan cabaran ekonomi semasa,

“Matlamat kita jelas: untuk menjaga kebajikan pekerja melalui gaji yang lebih adil, sambil memastikan PMKS kekal berdaya saing agar mereka dapat terus berkembang dan mewujudkan peluang pekerjaan," kata Sim.

Semalam, bekas menteri kewangan Lim Guan Eng berkata kerajaan dijangka mengumumkan kenaikan gaji minimum RM1,700 semasa pembentangan Belanjawan 2027 pada 9 Okt, dengan merujuk kepada keperluan menangani jurang antara gaji pekerja, produktiviti dan keuntungan korporat.

Dia berkata prospek kenaikan gaji minimum yang lebih tinggi menimbulkan kebimbangan dalam kalangan perniagaan tempatan, terutamanya PMKS yang sudah pun menghadapi persaingan daripada pengeluar luar negara yang lebih murah, serta cukai dan kos pematuhan yang lebih tinggi dalam persekitaran ekonomi yang agak perlahan.

Dalam kenyataan di Facebooknya, Lim kemudian mengulangi gesaannya untuk mengecualikan pekerja asing daripada sebarang kenaikan gaji minimum, dengan berhujah bahawa tindakan ini akan melindungi pekerja dan perniagaan Malaysia.

Dia turut menggesa agar caruman dua peratus Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk pekerja asing dimansuhkan, atas alasan bahawa perkara itu memberi beban tambahan kepada majikan tempatan dan PMKS.

[Baca berita penuh]