Mangsa banjir menang saman, Selangor berkira-kira cabar di mahkamah
Selangor akan mendapatkan maklumat serta pandangan daripada Penasihat Undang-Undang Negeri berhubung keputusan Mahkamah Tinggi yang memutuskan 50 penduduk Taman Sri Muda berjaya dalam saman berkaitan banjir besar pada Disember 2021.
Menteri Besar Amirudin Shari berkata pandangan berkenaan penting bagi menentukan tindakan selanjutnya, termasuk keperluan untuk mengemukakan rayuan terhadap keputusan berkenaan.
“Saya akan dapatkan makluman daripada pihak Pegawai Penasihat Undang-Undang Negeri untuk melihat proses-proses seterusnya. Sama ada proses rayuan harus dilakukan ataupun tidak kerana ia baharu keputusan di Mahkamah Tinggi.
“Masih ada ruang untuk rayuan dibuat untuk memberikan justifikasi-justifikasi tertentu,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Pelan Strategik Jalan dan Lebuh Raya Selangor 2026-2035 (JALUR Selangor), di Shah Alam hari ini.
Semalam, Mahkamah Tinggi Shah Alam mendapati beberapa pihak berkuasa, termasuk Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Selangor serta Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), bertanggungjawab secara bersama dengan Kerajaan Persekutuan berhubung kecuaian dan kegagalan berkaitan insiden banjir berkenaan.
Mengulas status projek tebatan banjir Sungai Klang di Seksyen 25, Amirudin berkata usaha berkenaan berjalan dengan baik, selain keadaan di Taman Sri Muda kini jauh lebih terkawal berbanding ketika banjir besar pada 2021.
Beliau berkata kerja-kerja mendalamkan sungai yang dilaksanakan dengan pantas di kawasan berkenaan meningkatkan kapasiti Sungai Klang sebanyak kira-kira 20 peratus.
“Alhamdulillah kita juga melengkapkan pengurusan pam. Ada satu hari ataupun satu waktu itu pam tidak berfungsi, tetapi sekarang berfungsi sepenuhnya, (kini) penggunaan pintu air dan pam yang bergerak dengan baik juga berjaya menghindari banjir di kawasan tersebut,” katanya.
Amirudin berkata projek tebatan banjir secara menyeluruh di sepanjang Sungai Klang yang dijangka siap pada 31 Jan 2029 ialah projek melibatkan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta Kerajaan Persekutuan, manakala kerja-kerja mendalamkan sungai yang dilaksanakan kerajaan negeri adalah sebahagian daripada usaha mitigasi berasingan.
Beliau berkata kerja-kerja mendalamkan Sungai Klang itu dilaksanakan Landasan Lumayan dengan kerjasama JPS, dengan kerajaan negeri membelanjakan antara RM30 juta hingga RM40 juta bagi tujuan berkenaan.
Terdahulu dalam ucapan pelancaran JALUR Selangor, Amirudin berkata pelan berkenaan dirangka secara holistik sebagai panduan fizikal yang menyokong pelaksanaan dasar utama Rancangan Selangor Kedua (RS-2), termasuk usaha merapatkan jurang pembangunan antara daerah.
Beliau berkata JALUR Selangor akan menjadi pemboleh daya fizikal dan tulang belakang mobiliti negeri menerusi perancangan rangkaian jalan mengikut zon, termasuk memperkukuh akses logistik di Sabak Bernam, menyokong pembangunan IDRISS serta Pelabuhan Ketiga Pulau Carey di selatan Selangor, dan memperkasakan hubungan ke hab aeroangkasa serta logistik di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Subang.
“Selaras dengan sasaran RS-2 untuk mencapai sekurang-kurangnya 60 peratus penggunaan pengangkutan awam, pelan ini menekankan Peralihan Mod Pengangkutan (Mode Shift).
“Kita menyasarkan integrasi rel seperti LRT3, MRT, dan cadangan Jajaran Rel KitaSelangor yang disokong oleh sistem Demand-Responsive Transit (DRT), bas pengantara, dan Park & Ride demi merealisasikan agenda negeri yang mampan dan lestari,” katanya.
- Bernama
/file/attachments/orphans/asdasdeasdasd_191349.png)
