Jemaah Menteri mendoakan kesihatan Tun Dr Mahathir Mohamad yang kini berada dalam pemantauan doktor di Institut Jantung Negara (IJN).

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan seluruh Jemaah Menteri turut merakamkan ucapan takziah kepada Mahathir serta keluarga susulan pemergian isterinya, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali.

“Pihak kerajaan merakamkan ucapan takziah buat Mahathir dan keluarga atas pemergian Dr Siti Hasmah. Allahyarham merupakan seorang tokoh wanita dan negarawan yang amat dihormati.

“Jemaah Menteri turut mendoakan kesihatan Mahathir yang kini berada dalam pemantauan doktor di IJN,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Jemaah Menteri di Putrajaya hari ini.

Sebelum ini, Mokhzani Mahathir memaklumkan bapanya dimasukkan ke IJN sejak semalam untuk menjalani pemerhatian.

Mokhzani berkata keadaan bapanya ketika ini adalah baik dan tidak membimbangkan namun keputusan memasukkan Mahathir ke IJN dibuat bagi membolehkan bekas Perdana Menteri itu diberi perhatian selepas pemergian Dr Siti Hasmah.

Dr Siti Hasmah, 100, meninggal dunia di IJN pada pagi 28 Sept lepas dan dikebumikan di Pusara Negara, Presint 20 di Putrajaya pada hari yang sama dengan Istiadat Pengebumian Negara.

- Bernama