Projek solar: Bekas CEO UiTM Holdings didakwa seleweng RM37.37 juta
Bekas Ketua Pegawai Eksekutif UiTM Holdings Sdn Bhd (UHSB) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas pertuduhan melakukan pecah amanah melibatkan wang berjumlah RM37.37 juta pada 2017.
Azlizan Fadzil, 52, yang hadir ke mahkamah dengan berkerusi roda membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Mohd Nasir Nordin.
Mengikut pertuduhan, tertuduh yang ketika itu Ketua Pegawai Eksekutif UHSB telah diamanahkan dengan penguasaan ke atas harta iaitu wang berjumlah RM37,374,612.68, yang diperuntukkan bagi tujuan pelaburan pembangunan penjanakuasaan elektrik solar photovoltaic berskala besar dengan saiz 50MW di Gambang, Pahang, didakwa menyalahgunakan harta tersebut dengan membuat pembayaran-pembayaran lain selain daripada tujuan tersebut.
Dia dituduh melakukan kesalahan itu di Affin Bank Berhad Cawangan UiTM Shah Alam, Level 2, Menara Sultan Abdul Aziz Shah, dalam daerah Petaling, Selangor antara 2 Feb 2017 dan 2 Okt 2017.
Pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan, yang boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan dengan sebat dan boleh juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Law Chin How yang hadir bersama dengan Atirah Mohd Azuarizanuddin, menawarkan jaminan sebanyak RM100,000, dengan syarat tambahan tertuduh perlu melaporkan diri di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), tiga bulan sekali.
“Melihat nilai kesalahan melibatkan lebih RM30 juta dan ini merupakan kes berprofail tinggi selain mengambil kira reputasi UiTM dan berkaitan projek solar serta dakwaan ketirisan dana awam, jadi syarat ini dilihat tidak keterlaluan,” katanya.
Bagaimanapun, peguam Hasshahari Johari Mawi yang mewakili tertuduh memohon supaya jumlah jaminan itu dikurangkan kepada RM20,000, atas faktor kesihatan anak guamnya yang kini mengalami masalah gangguan pada otak dan tubuh badan.
Hasshahari berkata laporan perubatan berhubung keadaan kesihatan tertuduh telah dikemukakan kepada mahkamah untuk pertimbangan dan turut diakui Law bahawa pihak pendakwaan baru menerima laporan berkenaan, yang menyatakan tertuduh menghidap strok dan mengalami ketakmampuan kognitif.
“Faktor kesihatan itu merupakan antara perkara utama yang wajar dipertimbangkan mahkamah, kerana anak guam saya kini tidak lagi mempunyai pendapatan selepas berhenti daripada perkhidmatannya dan kehidupannya ditanggung sepenuhnya oleh isteri serta ahli keluarga.
“Ahli keluarga khususnya isteri juga perlu menanggung tujuh orang anak berusia 14 tahun hingga 21 yang semuanya masih belajar,” kata Hasshahari.
Beliau berkata bahawa tiada risiko tertuduh melarikan diri memandangkan keadaan kesihatannya, menyebabkan beliau bergantung kepada isteri dan ahli keluarga serta tidak mampu menjalani kehidupan secara bersendirian, selain menawarkan pasport tertuduh untuk diserahkan kepada mahkamah.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM50,000 dengan dua orang penjamin serta menetapkan syarat tambahan supaya tertuduh menyerahkan pasport kepada mahkamah, melaporkan diri di pejabat SPRM berhampiran setiap tiga bulan serta tidak mengganggu mana-mana saksi.
Mahkamah turut menetapkan 3 Nov untuk sebutan semula kes.
Sebelum ini SPRM memaklumkan seorang bekas pegawai pengurusan tertinggi sebuah perbadanan akan didakwa di mahkamah berhubung isu kerugian UHSB, termasuk dakwaan menyalahgunakan kuasa dalam urusan pembayaran perbelanjaan operasi kepada beberapa syarikat berjumlah kira-kira RM42 juta.
SPRM dalam kenyataan memaklumkan suspek lelaki berusia lingkungan 50-an itu, ditahan kira-kira 1 tengah hari semalam di kediamannya di sekitar Lembah Klang.
Siasatan awal mendapati suspek disyaki melakukan perbuatan itu pada 2017, dengan membuat pembayaran berkaitan perbelanjaan operasi kepada beberapa syarikat, yang dipercayai mempunyai kepentingan dalam syarikat-syarikat berkenaan.
- Bernama
/file/1005/08e52b00409fccf5df77eb16838a4092.jpg)
