Sekatan imigresen penyalahgunaan kuasa - Aktivis desak Sarawak jawab isu larangan presiden SAM
Larangan kemasukan ke atas Presiden SAM, Meenakshi Raman ke Sarawak, mencetuskan bantahan daripada aktivis hak asasi manusia, termasuk mereka yang pernah terjejas akibat sekatan serupa.
Penyelaras Mandiri, Wong Kueng Hui, mengesahkan bahawa organisasi masyarakat sivil secara konsisten berhujah bahawa walaupun autonomi imigresen Sabah dan Sarawak mesti dihormati, kekurangan akuntabiliti terbukti membawa masalah bagi jangka masa panjang.
"Corak berulang ini sudah lama berlaku - lihat apabila (bekas jawatankuasa pemandu Bersih) Mandeep Singh dan (bekas aktivis) Adam Adli Abdul Halim (kini timbalan menteri pendidikan tinggi) dihalang daripada memasuki Sarawak, semata-mata kerana mereka mempertahankan hak sebagai warganegara demokratik.
"Sudah tiba masanya kita menuntut akuntabiliti daripada pihak berkuasa imigresen Sabah dan Sarawak," kata Wong kepada Malaysiakini ketika dihubungi.
Dia turut memberi perhatian bahawa anggota Mandiri dan jawatankuasa pemandu Bersih, Alyaah Hani, sebelum ini disekat daripada memasuki Sabah.
Berunsur politik
Dalam satu kenyataan kepada Malaysiakini, Setiausaha Agung PSM, M Sivaranjani, berkata sebagai sebuah organisasi hak alam sekitar yang mempunyai pejabat di Sarawak, perkhidmatan SAM di negeri itu berkemungkinan terganggu akibat larangan berkenaan - sekali gus merugikan pihak yang diperjuangkan oleh mereka.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2023/02/92178596c25befefe1ec79289d6ece95.jpg)
"Sekatan ke atas aktivis untuk memasuki Sarawak adalah tindakan yang melanggar hak asasi warganegara berhubung kebebasan bergerak.
"Tindakan sedemikian berunsur politik, menjejaskan ruang demokratik, dan menunjukkan keangkuhan kerajaan Sarawak," kata Sivaranjani.
Sambil mendesak kerajaan Sarawak memberikan penjelasan munasabah berhubung larangan kemasukan itu, dia turut membangkitkan sekatan serupa yang pernah dikenakan ke atas aktivis Bersih yang dilarang memasuki Sabah sebelum ini.
Sivaranjani merujuk kepada dakwaan Bersih bahawa lebih ramai aktivis dikenakan sekatan perjalanan ke Sabah.
Pada 29 September, jawatankuasa pusat SAM dan setiausaha kehormatnya, Mageswari Sangaralingam meluahkan bantahan dan memperincikan tindakan Sarawak menolak kemasukan Meenakshi selepas dia tiba di negeri itu kira-kira jam 4.50 petang pada hari berkenaan.
Dilarang masuk tanpa notis
Mageswari berkata MyKad Meenakshi diambil daripadanya dan dia disoal sama ada dia "terlibat dalam mana-mana kes", sebelum dimaklumkan bahawa satu laporan dibuat terhadapnya pada 21 Mei tahun lalu.

"(Meenakshi) kemudian ditanya sama ada dia menerima sebarang surat daripada pihak berkuasa Sarawak. Dia tidak menerima sebarang surat, notis, penjelasan, atau indikasi awal bahawa dia dilarang memasuki Sarawak.
"Sekiranya dia dimaklumkan mengenai sekatan sedemikian, dia tidak akan menaiki penerbangan berkenaan," kata Mageswari.
Sambil menyifatkan larangan itu sebagai "penggunaan kuasa negeri yang tidak boleh diterima dan amat membimbangkan", Mageswari berkata insiden itu membangkitkan keraguan serius berhubung kesaksamaan prosedur.
"Sebagai warganegara Malaysia dan presiden salah sebuah organisasi alam sekitar tertua di negara ini, Meenakshi dinafikan kemasukan tanpa dimaklumkan punca keputusan itu atau diberikan peluang untuk memberi maklum balas," katanya.
Dia menegaskan bahawa perkhidmatan puluhan tahun SAM di Sarawak menerusi pejabatnya di Marudi berakar teras daripada sokongan kepada komuniti akar umbi, terutamanya masyarakat orang asal, petani, dan nelayan untuk mempertahankan wilayah, mata pencarian, dan alam sekitar mereka daripada "pembangunan yang merosakkan".

"Setiap warganegara mempunyai hak untuk bebas bergerak. Walaupun Sarawak mempunyai kuasa berhubung kemasukan dari bahagian lain di Malaysia, kuasa sedemikian bukanlah lesen untuk membuat penyisihan sewenang-wenangnya.
"Kerajaan Persekutuan tidak boleh berdiam diri - penyisihan sewenang-wenangnya terhadap pembela alam sekitar dan hak asasi manusia daripada sebahagian tanah air mereka sendiri menjejaskan akuntabiliti demokratik, ruang sivil, dan hak awam untuk bersuara mengenai kemusnahan alam sekitar serta hak komuniti yang terjejas," tambah Mageswari.
Selain menggesa pembatalan sekatan berkenaan, dia turut mendesak kerajaan Sarawak dan pihak berkuasa imigresen yang berkaitan untuk menyatakan bentuk, sumber, dan asas undang-undang yang tepat mengenai penyekatan Meenakshi.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2021/02/8d0735265f35f51863fdb0b23ead9bce.jpg)
