Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

kemaskini 5:58pm Dua penggiat seni popular menyifatkan cadangan memperkenalkan 90 peratus kuota perlindungan lagu Melayu daripada asakan kemasukan lagu popular Indonesia sebagai "mendadak" dan "terlalu berlebihan".

Pengarah filem muda Amir Muhammad berkata kuota sedemikian hanya sesuai untuk "membantu artis tempatan berjalan" dalam jangka pendek.

"(Cadangan kuota) ini menunjukkan bahawa artis tempatan sekarang lemah. Jika kuat, mereka boleh berdikari," katanya kepada Malaysiakini .

Amir, yang turut mengarahkan Susuk yang baru ditayangkan di pawagam, mengibaratkan cadangan itu sebagai "sesuatu yang turun dari langit" jika menjadi realiti.

Beliau mengulas cadangan Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) untuk mendesak kerajaan melaksanakan kuota 90 peratus untuk lagu tempatan berbanding 10 peratus sahaja lagu dari republik itu.

Cadangan kuota 90:10 itu disifatkannya sebagai "mendadak".

last communist talk 110606 amir talking Jika cadangan itu tetap mahu dilaksanakan, Amir yang kontroversi melalui dua dokumentarinya Lelaki Komunis Terakhir dan Apa Khabar Orang Kampung mencadangkan kuota yang lebih rendah, 50:50.

Namun, tambah penulis kolum itu, nisbah ini mesti "terkawal" dan dikaji semula dalam tempoh tertentu.

Menurutnya lagi, dasar perlindungan terhadap artis tempatan ini sudah lama dilakukan seperti kempen membasmi cetak rompak suatu ketika dahulu.

Mengulas dakwaan kemerosotan jualan album artis-artis tanah air, Amir berkata perkara itu merupakan fenomena biasa di seluruh dunia pada masa ini.

"Jualan cakera padat (CD) di seluruh dunia menurun. Ada media lain, misalnya (lagu) dimuat turun daripada Internet," tambahnya.

Bagaimanapun sasterawan negara A Samad Said menyokong dasar perlindungan terhadap produk seni termasuk muzik seperti hasrat persatuan itu.

Namun beliau tidak senang dengan jumlah kuota 90:10 yang dianggapnya "terlalu berlebihan".

"(Nisbah) 70:30 mungkin lebih wajar," katanya, dengan menambah dasar perlindungan seumpama ini haruslah dikuatkuasakan melalui undang-undang.

a samad said "Suka atau tidak suka, perlu undang-undang. Setiap negara berlaku (dasar seumpama itu). Sebab itu perdagangan bebas dibantah di beberapa negara kerana tidak bersedia," katanya, juga popular dipanggil Pak Samad, kepada Malaysiakini .

Ditanya sama ada penguatkuasaan undang-undang itu bertentangan dengan kebebasan memilih dalam pasaran terbuka, Pak Samad menyifatkan kebanyakan audiens terdiri daripada "anak-anak remaja" yang lebih sukakan hiburan sebegitu.

Mengibaratkan pilihan lagu dalam industri muzik dengan dunia perbukuan, pengarang novel terkenal Salina berkata:

"Perkara ini sulit. Kebanyakan pendengarnya anak-anak remaja. Sebab itu buku-buku romance lebih laku berbanding buku-buku sastera."

Mengulas kenapa artis Melayu tempatan lebih menonjol menuntut kuota berbanding seniman kaum-kaum lain, penyair itu berkata:

"Perkara ini berlaku mereka ini sangat bergantung kepada lagu.

"Seperti saya, (juga) amat bergantung kepada ceramah (sastera) dan deklamasi (puisi). Kalau itu dirampas, saya tak punya hasil."

Karyawan dalam kempennya di kalangan penggiat seni muzik tempatan sejak beberapa minggu lalu berjaya mengutip 700 tandatangan menyokong sistem kuota itu.

persatuan karyawan malaysia 2 Persatuan itu juga merancang bertemu Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi, Datuk Shaziman Abu Mansor - dijangka selepas pilihanraya kecil Permatang Pauh yang berakhir hari ini.

Menurut pegawai Karyawan, kuota itu buat masa ini untuk siaran di radio berbahasa Melayu kerana saluran itu mempunyai pendengar yang paling besar.

"Stesen radio lain, kita buat secara berperingkat-peringkat,” kata Ahmad Abdullah kepada Malaysiakini .

Cadangan kuota itu belum melibatkan persembahan pentas seperti di konsert dan kelab hiburan, tambahnya.

ADS