Kenangan bersama Dr Hasmah akan dibawa selamanya
Bagi ahli fisioterapi Kevin Choo, foto bersama Dr Siti Hasmah Mohamad Ali bukan sekadar rakaman satu detik, tetapi kenangan yang akan dihargainya sepanjang hayat.
Choo, yang kelihatan menangis sambil mengusap belakang Dr Mahathir Mohamad ketika pengebumian Siti Hasmah, berkongsi foto itu dalam hantaran di media sosial malam tadi.
“Lebih daripada sekadar detik yang dirakam. Ini kenangan yang akan sentiasa saya bawa bersama,” tulisnya.
“Tun Hasmah seorang yang sangat saya hormati dan kagumi. Mendapat penghormatan untuk berada di sana, serta berkongsi walaupun sebahagian kecil perjalanan hidupnya, sesuatu yang akan sentiasa saya hargai.
/file/attachments/orphans/KevinChoophysiotherapistattheNationalHeartInstituteIJNwhocaredforthelateTunDrSitiHasmah03102611_387021.png)
“Sesetengah detik menjadi kenangan, dan sesetengah kenangan menjadi sebahagian daripada hati selamanya,” tambahnya.
Choo antara tiga petugas perubatan yang menarik perhatian ketika menemani Mahathir semasa jenazah isterinya diturunkan ke liang lahad.
Duduk di kerusi roda dengan tiub oksigen di hidung, bekas perdana menteri berusia 101 tahun itu tidak dapat menahan kesedihan. Air mata mengalir di wajahnya ketika mengucapkan selamat tinggal kepada wanita yang mendampinginya selama lebih 70 tahun.
Choo, lelaki muda berbangsa Cina yang berpakaian biru, kelihatan menangis teresak-esak sambil mengusap belakang Mahathir dengan lembut.
/file/attachments/orphans/KevinChoophysiotherapistattheNationalHeartInstituteIJNwhocaredforthelateTunDrSitiHasmah0310262_344151.png)
Di sisinya berdiri seorang doktor berbangsa Melayu dan jururawat berbangsa India. Ketiga-tiganya terus menemani Mahathir ketika dia meratapi kehilangan teman hidupnya.
Video detik itu tersebar di media sosial, mengundang penghargaan daripada ramai pengguna yang tersentuh dengan keprihatinan mereka.
Sebelum ini, Dr Iskandar Mirza Amran dari Institut Jantung Negara (IJN), seorang daripada tiga petugas berkenaan, berkata tujuh anggota pasukan IJN merawat dan memantau kesihatan Mahathir serta arwah isterinya.
“Ahad lalu, saya bertugas dalam syif 24 jam. Pagi semalam, kami menerima ‘kod biru’, yang bermaksud kecemasan membabitkan Dr Hasmah.
/file/attachments/orphans/123123123123_869067.png)
“Saya antara mereka yang dipanggil untuk melakukan CPR terhadapnya sebelum kematiannya disahkan,” katanya kepada New Straits Times.
Iskandar kemudian ditugaskan menemani Mahathir sepanjang urusan pengebumian manakala anggota pasukan perubatan yang lain mengendalikan satu lagi prosedur penting.
Selepas video dan foto mereka menjaga Mahathir tular, Iskandar menerima banyak panggilan daripada orang ramai yang menzahirkan penghargaan.
“Apabila saya mendengar ucapan terima kasih dan penghargaan daripada orang ramai, penat bertugas selama 40 jam terasa berbaloi,” katanya.
/file/attachments/orphans/KDivyaBarathy2_100967.png)
Sementara itu, ketua jururawat pasangan berkenaan, K Divya Barathy, berkata dia tersentuh melihat eratnya ikatan Mahathir dan Siti Hasmah ketika menyaksikan kesedihan bekas perdana menteri itu semasa pengebumian.
“Kami membantu memastikan tangannya bersih, mengurut kakinya dengan lembut supaya dia selesa dan terus berada dekat dengannya.
“Saya berasa sukar untuk sekadar berkata, ‘Tak mengapa, Tun’ atau ‘Tun kena kuat’, kerana saya dapat melihat betapa mendalamnya kasih sayang mereka terhadap satu sama lain.
“Saya tidak mahu memperkecil kesedihannya dengan kata-kata ringkas. Pada saat itu, kami hanya mahu dia tahu bahawa kami ada untuknya,” katanya.
/file/attachments/orphans/KDivyaBarathy1_673930.png)
Menurut Divya, sehari sebelum meninggal dunia, Siti Hasmah menzahirkan penghargaan kepada pasukan perubatan yang menjaga dirinya dan Mahathir sepanjang lima tahun lalu.
Siti Hasmah, 100, meninggal dunia di IJN pada jam 9.20 pagi, 28 September. Jenazahnya dikebumikan di Pusara Negara, Putrajaya.
Mahathir dan Siti Hasmah mula berkenalan ketika menuntut di Kolej Perubatan King Edward VII di Singapura pada penghujung 1940an. Persahabatan mereka kemudian berkembang menjadi hubungan cinta.
Kedua-dua doktor itu kemudian naik ke jinjang pelamin di Kuala Lumpur pada 5 Ogos 1956.
Pasangan itu dikurniakan tujuh cahaya mata. Siti Hasmah teguh mendampingi Mahathir sepanjang perjalanan kerjayanya daripada seorang doktor di Kedah hingga menjadi perdana menteri, termasuk sepanjang dua tempoh dia menerajui negara.
/file/attachments/orphans/fasdasdasd_984472.png)
/file/attachments/orphans/3fgasdfadasd_722345.png)
