Setelah 20 tahun saranan tanpa penguatkuasaan, pemilikan sekurang-kurangnya 30 peratus ekuiti Bumiputera sebelum ini ditetapkan bagi syarikat sendirian berhad yang mengendalikan institusi pendidikan swasta (IPS), termasuk pusat tuisyen, bawah Kementerian Pendidikan (KPM).

Ketetapan itu dinyatakan dalam Buku Pernyataan Dasar Institusi Pendidikan Swasta yang diterbitkan pada 2006, manakala garis panduan penubuhan, pendaftaran dan pengoperasian pusat tuisyen yang pernah diterbitkan KPM turut menetapkan syarat sama bagi pusat tuisyen yang distrukturkan sebagai syarikat sendirian berhad.

Namun pada 21 Sept lalu, KPM mengumumkan pemilikan minimum 30 peratus ekuiti Bumiputera tidak lagi ditetapkan sebagai syarat bagi syarikat sendirian berhad yang mengoperasikan IPS di bawah kementerian itu.

KPM berkata penyelarasan tersebut dibuat bagi memenuhi keperluan semasa sektor pendidikan dan memastikan ruang penyertaan kekal terbuka kepada semua pihak yang mahu menyumbang kepada pembangunan pendidikan negara.

Kementerian itu pada mulanya berkata keputusan tersebut dicapai selepas perbincangan dengan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (Miti).

Bagaimanapun, persoalan mengenai proses keputusan itu timbul pada 22 Sept apabila Miti berkata ia tidak mempunyai maklumat mengenai penyelarasan tersebut.

Di sebalik kekeliruan itu, pengguguran syarat berkenaan turut membuka persoalan lain. Bagaimana pusat tuisyen yang selama ini tidak beroperasi sebagai syarikat sendirian berhad membina dan mengekalkan perniagaan mereka? Mereka malah melakukannya selama 20 tahun tanpa sebarang isu?

Syarikat sendirian berhad merupakan entiti undang-undang yang berasingan daripada pemiliknya, berbeza dengan milikan tunggal dan perkongsian.

Bagi milikan tunggal dan perkongsian, pemilik atau rakan kongsi mempunyai liabiliti tanpa had yang boleh melibatkan aset peribadi. Bagi syarikat pula, liabiliti pemegang saham pada asasnya terhad kepada saham yang belum dibayar.

Ini bermakna pengusaha pusat tuisyen tidak semestinya perlu menubuhkan syarikat sendirian berhad untuk terus beroperasi.

Mereka boleh memilih struktur lain seperti milikan tunggal atau perkongsian, tetapi pilihan itu datang dengan risiko dan batasannya sendiri.

Corak yang jelas

Tinjauan Malaysiakini terhadap lima pengusaha pusat tuisyen yang beroperasi antara 12 hingga kira-kira 20 tahun menunjukkan satu corak yang jelas. Kebanyakan mereka membina dan mengekalkan operasi melalui struktur perniagaan selain syarikat sendirian berhad.

Daripada lima pengusaha yang ditemu bual, empat mengendalikan atau pernah mengendalikan pusat tuisyen mereka sebagai milikan tunggal atau perkongsian, manakala hanya satu telah beralih kepada syarikat sendirian berhad.

Dapatan Malaysiakini menunjukkan syarat 30 peratus ekuiti Bumiputera itu tidak semestinya menghalang pusat tuisyen daripada terus beroperasi, sebaliknya mendorong sebahagian pengusaha kekal menggunakan struktur milikan tunggal atau perkongsian yang tidak tertakluk kepada keperluan tersebut.

Namun, pilihan itu mempunyai pertukarannya sendiri.

Struktur milikan tunggal dan perkongsian tidak menawarkan pemisahan liabiliti yang sama seperti sebuah syarikat, manakala usaha untuk beralih kepada syarikat sendirian berhad pula boleh menimbulkan persoalan mengenai pemilikan, rakan kongsi dan modal.

Corak yang ditemui Malaysiakini turut menunjukkan kesan syarat berkenaan tidak semestinya dapat dilihat melalui pusat yang ditutup atau lesen yang ditolak.

Sebaliknya, kesannya boleh berlaku lebih awal dan secara lebih halus - pada cara sesebuah pusat distrukturkan, sejauh mana ia mahu berkembang dan risiko yang sanggup ditanggung pemiliknya.

Dalam konteks itu, kemampuan pusat-pusat tuisyen ini bertahan lebih sedekad menunjukkan bagaimana sebahagian pengusaha menyesuaikan struktur dan skala perniagaan mereka dalam kerangka peraturan yang sedia ada.

Ambil risiko’ kekal sebagai perkongsian

Bagi pengendali Tutor Tutor Cemerlang (TTC), Lim You Tian, 44, bertahan hampir 20 tahun menggunakan struktur perkongsian walaupun sedar risiko yang datang bersamanya.

Lim berkata semua cawangan TTC beroperasi di bawah struktur perkongsian dan syarat 30 peratus ekuiti Bumiputera menjadi antara sebab pihaknya tidak memilih untuk beralih kepada syarikat sendirian berhad.

“Kerana dalam Sendirian Berhad nak 30 peratus Bumi ekuiti. Tapi kita guru kan, kita nak ajar. Jadi memang nak cari orang lain pun susah.

“Yang penting ajarlah, bukan keuntungan,” katanya.

Menurut Lim, struktur perniagaan perkongsian bagaimanapun menyebabkan pemilik menanggung risiko liabiliti peribadi sekiranya berlaku tuntutan undang-undang.

“Kalau ada pelajar jatuh ke, atau pelajar cedera ke, kemudian ibu bapa saman, masuk mahkamah, saman RM1 juta, RM2 juta, kita pun muflis sekali,” katanya.

Namun, katanya, membawa masuk pelabur semata-mata bagi memenuhi struktur pemilikan juga boleh membawa tekanan lain terhadap cara pusat tuisyen dibelanjakan dan diuruskan.

Lim berkata TTC lebih memilih menyalurkan perbelanjaan kepada tenaga pengajar dan bahan pembelajaran, berbanding berdepan pemegang saham yang menurutnya mungkin lebih menekankan pulangan pelaburan.

Susulan pengguguran syarat berkenaan, Lim kini bercadang melakukan perkara yang selama ini dielakkan TTC.

“Kalau memang betul-betul (syarat) dibuang, kita akan tukar sendirian berhad secepat mungkin,” katanya.

Dia bagaimanapun berkata TTC mahu menunggu sehingga kedudukan dasar itu benar-benar jelas sebelum membuat perubahan tersebut.

Kahwin paksa

Pengalaman hampir sama dikongsi pemilik Pusat Tuisyen Sinergi, Stefan Soh, 49, yang telah beroperasi selama 18 tahun sebagai milikan tunggal.

Soh berkata dia tidak mengetahui mengenai syarat 30 peratus itu ketika mula mendaftarkan pusatnya.

Ia hanya timbul kira-kira lima tahun lalu apabila dia mula meninjau kemungkinan untuk menaik taraf perniagaannya kepada syarikat sendirian berhad.

“Bila nak naik taraf ke sendirian berhad baru diberitahu ada (syarat) 30 peratus (ekuiti bumiputera),” katanya.

Menurut Soh, masalahnya bukan kerana dia tidak mahu beralih kepada struktur syarikat, tetapi kesukaran mencari rakan kongsi Bumiputera yang mempunyai modal serta hala tuju perniagaan yang sama.

“Bukan tak nak teruskan, tapi nak cari Bumiputera yang mempunyai hasrat yang sama dan modal juga, tak boleh cari dalam masa yang pendek.

“Pusat tuisyen lain yang komersial boleh berkembang sangat cepat, tapi kita berkembang sangat lambat,” katanya.

Dia menegaskan perkara itu baginya bukan isu perkauman dan berkata pusatnya turut mempunyai pekerja dan pelajar Melayu.

Sebaliknya, Soh berkata memilih rakan kongsi yang tidak serasi boleh membawa masalah lebih besar kepada sesebuah perniagaan.

“Kalau rakan kongsi tu tak serasi, lagi banyak masalah. Dari memaksa diri cari rakan kongsi macam itu, macam kena paksa kahwinlah,” katanya.

Walaupun menyokong pemansuhan syarat itu, Soh berkata dia buat masa ini lebih cenderung untuk mengekalkan struktur milikan tunggal.

Syarat muncul ketika mahu jadi Sdn Bhd

Berbeza dengan TTC dan Sinergi, Twins Education akhirnya membuat peralihan kepada syarikat sendirian berhad.

Pengetuanya, Andy Kw Gan, berkata pusat berkenaan telah beroperasi hampir 12 tahun dan kini mempunyai lima cawangan.

Twins pada asalnya didaftarkan sebagai perkongsian dan Andy berkata dia tidak mengingati syarat 30 peratus ekuiti Bumiputera pernah dimaklumkan ketika pendaftaran awal dibuat.

Bagaimanapun, sekitar 2021, apabila Twins menubuhkan syarikat sendirian berhad dan memohon untuk memindahkan lesen pusat tuisyen sedia ada kepada syarikat baru itu, mereka dimaklumkan mengenai syarat tersebut.

Pihaknya turut diminta menyediakan maklumat atau dokumentasi berkaitan pemilikan ekuiti ketika proses pemindahan lesen.

Menurut Andy, maklumat sama tidak lagi diminta ketika pembaharuan lesen berikutnya, yang difahaminya kerana butiran pemilikan itu sudah berada dalam rekod pihak berkuasa.

Dia juga berkata tidak mengetahui mana-mana pengusaha pusat tuisyen yang lesen atau pembaharuannya pernah ditolak secara khusus kerana syarat berkenaan.

Selepas KPM menggugurkan syarat itu, Andy menyifatkan langkah tersebut sebagai positif dan tepat pada masanya.

“Daripada pengalaman kami sebagai pengusaha pusat tuisyen, syarat 30 peratus ekuiti Bumiputera sebelum ini merupakan satu lagi keperluan pentadbiran yang tidak berkaitan secara langsung dengan kualiti pendidikan atau cara sesebuah pusat tuisyen beroperasi,” katanya.

Menurutnya, perhatian sepatutnya diberikan kepada perkara yang memberi kesan langsung kepada pelajar seperti kualiti pengajaran, kelayakan dan tingkah laku guru, keselamatan pelajar, kesesuaian premis serta pematuhan terhadap peraturan.

‘Rakan kongsi tipu, kawan jadi musuh’

Bagi pengendali ATC Daycare & Tuition Centre, Janet Lim, 44, struktur milikan tunggal pula sesuai dengan operasi pusatnya yang dikendalikan secara kecil-kecilan bersama suami.

ATC telah beroperasi selama 16 tahun dan kekal sebagai milikan tunggal sejak awal.

Janet, yang juga seorang penulis buku pembangunan diri, berkata dia tidak pernah benar-benar merancang untuk menjadikan pusat itu sebuah operasi berskala besar.

“Sekarang pusat tuisyen hanya suami dan isteri yang urus. Saya mengajar dan suami pun jadi pengetua.

“Simple simple life (kehidupan ringkas),” katanya.

Namun, Janet berkata keperluan mencari rakan kongsi boleh menjadi pertimbangan apabila sesebuah pusat tuisyen mahu berkembang.

“Memang susah juga nak cari rakan kongsi. Sebab biasa dengar dalam perniagaan kan, kalau rakan kongsi tipu, kawan pun boleh jadi musuh.

“Jadi kalau buat milikan tunggal, lebih selamatlah. Hanya suami isteri atau seorang sahaja, tak payah libatkan ramai-ramai. Sebab tu bertahan 16 tahun,” katanya.

Walaupun membantah syarat 30 peratus itu, penulis buku terlaris itu berkata dia masih bercadang mengekalkan struktur milikan tunggal selepas pemansuhan syarat tersebut.

‘Lapuk, tidak jelas dan tidak adil’

Pengarah bagi Ethos The IGCSE Education Centre, Eshin Low, 46, pula berkata pusat tuisyennya tidak pernah berdepan sebarang kesan daripada syarat berkenaan ketika memohon atau memperbaharui lesen sejak beberapa tahun lalu.

Ethos, yang didaftarkan sebagai perniagaan perkongsian, mula beroperasi pada 2006 dan kini berkecimpung dalam bidang pendidikan hampir 20 tahun.

Low berkata pusat itu bermula secara kecil-kecilan bersama isterinya, Ly Shan Tan, 45, sebelum berkembang dengan pasukan tenaga kerja yang lebih besar.

Meskipun syarat berkenaan tidak memberi kesan secara langsung kepada proses pelesenan Ethos, Low berkata pihaknya menyokong keputusan untuk memansuhkannya.

“Kami menyokong pemansuhan pelaksanaan yang lapuk, tidak jelas dan tidak adil ini,” katanya.

Pengalaman pengusaha-pengusaha ini memperlihatkan bahawa bertahan bawah dasar lama tidak mempunyai formula yang sama.

Namun, corak yang muncul selari: pusat tuisyen boleh terus beroperasi bertahun-tahun melalui struktur milikan tunggal atau perkongsian, tetapi bagi sebahagian pengusaha, pilihan itu turut mempengaruhi soal liabiliti, kadar pengembangan dan siapa yang mereka sanggup bawa masuk sebagai rakan kongsi.

Kini, selepas syarat itu digugurkan, kesannya juga tidak seragam.

TTC melihatnya sebagai peluang untuk akhirnya beralih kepada syarikat sendirian berhad, sementara pengusaha seperti Stefan Soh dan Janet Lim masih selesa mengekalkan struktur yang telah digunakan untuk bertahan selama bertahun-tahun.