'Cinta Dr M–Hasmah ibarat perpustakaan, kami baru nak tulis muka surat pertama'
Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata dia dan bakal isterinya, Bella Astillah, belum layak dibandingkan dengan Dr Mahathir Mohamad dan Allahyarhamah Dr Siti Hasmah Mohamad Ali, sama ada dari segi sumbangan kepada negara atau perjalanan cinta.
Katanya, dia dan Bella baru hendak memulakan kehidupan sebagai suami isteri, sedangkan pasangan itu telah melalui tujuh dekad kehidupan bersama.
“Saya rasa kami tidak layak untuk dibandingkan dengan Allahyarhamah dan Tun Dr Mahathir. Tidak dekat pun, malah tidak sampai satu peratus kerana kalau kita lihat jasa mereka, ia memang luar biasa,” kata Syed Saddiq seperti dipetik Berita Harian.
Dia turut mengulas perbandingan yang dibuat dari sudut kisah cinta mereka.
/file/attachments/orphans/SS1dsdd_303593.png)
“Saya tahu mungkin ada yang kata bukan daripada sudut sumbangan kepada negara, tetapi daripada sudut cinta. Itu pun saya rasa kami tidak layak,” katanya.
“Kami ini baru hendak berkahwin dan menghalalkan hubungan. Mereka pula sudah 70 tahun meraikan cinta dan kebijaksanaan bersama,” katanya pada sidang media Walimatulurus Bella Astillah & Syed Saddiq di Kuala Lumpur pada petang Jumaat.
Pasangan itu dijadualkan melangsungkan akad nikah pada 10 Oktober di Menara 118, Kuala Lumpur, disusuli majlis resepsi di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (Mitec) pada 18 Oktober.
Menggunakan analogi buku, Syed Saddiq berkata perjalanan mereka masih di peringkat awal berbanding pengalaman Mahathir dan Siti Hasmah selama puluhan tahun.
/file/attachments/orphans/SS1_426189.png)
“Kami belum sampai pun 25 tahun, baru hendak membuka bab atau buku yang pertama.”
“Kalau kita ibaratkan seperti sebuah buku, kami baru hendak menulis muka surat pertama. Mereka bukan sekadar menulis muka surat pertama, mungkin sudah mempunyai perpustakaan sendiri yang boleh berkongsikan kisah cinta mereka.
“Bukan satu buku, tetapi sudah beribu-ribu buku,” katanya.
Syed Saddiq turut menyifatkan Siti Hasmah sebagai tokoh wanita yang wajar dicontohi kerana sumbangannya dalam bidang perubatan dan pendidikan, termasuk kesediaannya berkhidmat di luar bandar.
Dia berkata rakyat Malaysia terus menikmati manfaat daripada pencapaian Mahathir, yang jauh mengatasi pencapaiannya sepanjang kerjaya politiknya yang lebih singkat.
Bekas presiden Muda itu berkata dia dan Bella berharap dapat menjadikan pengalaman pasangan tersebut sebagai sumber inspirasi.
‘Pertemuan terakhir’
Syed Saddiq turut mengenang kunjungannya bersama Bella untuk menemui Siti Hasmah tiga hari sebelum pemergiannya.
Dalam pertemuan yang berlangsung lebih dua jam itu, Siti Hasmah menyatakan keterujaannya untuk menghadiri majlis akad nikah mereka. Pertemuan tersebut menjadi antara kenangan paling berharga buat pasangan itu.
“Beliau sangat ceria ketika pertemuan itu. Beliau juga memberitahu kami betapa tidak sabarnya beliau untuk menghadiri majlis akad nikah kami,” katanya.
Siti Hasmah meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) pada 28 September lalu pada usia 100 tahun.
“Beliau banyak berkongsi nasihat, khususnya mengenai pentingnya bertolak ansur dalam perkahwinan. Perkahwinan bukan hanya mengenai cinta, tetapi juga toleransi dan mengetahui cara berkompromi, mengharungi cabaran serta menangani isu seperti cemburu dalam hubungan,” kata Syed Saddiq.
Sementara itu, Bella berkata Siti Hasmah menasihatinya supaya tabah, sentiasa berada di sisi suami dan menjalani kehidupan berumah tangga dengan kelembutan.
“Ada perkara yang boleh saya kongsikan dan ada yang saya pilih untuk simpan sebagai perkara peribadi kerana menghormati beliau. Beliau memberitahu saya bahawa menjadi isteri kepada seorang ahli politik bukan sesuatu yang mudah.
“Tetapi selagi ada kepercayaan dalam hubungan, insya-Allah perkahwinan itu akan berkekalan. Toleransi dan menghormati pasangan juga sangat penting,” katanya.
Syed Saddiq turut mengajak orang ramai mendoakan arwah Siti Hasmah serta kesihatan Mahathir.
“Ini bukan proses yang mudah untuk beliau dan keluarganya. Saya berharap dengan doa dan sokongan semua, beliau akan kembali lebih kuat, insya-Allah,” katanya.
Selepas pemergian Siti Hasmah, kisah cintanya dengan Mahathir turut dibandingkan dengan kisah arwah bekas presiden Indonesia BJ Habibie dan arwah isterinya, Ainun Besari. Kisah pasangan Indonesia itu turut diangkat ke layar lebar.
‘Kenduri rakyat’
Sementara itu, Syed Saddiq dan Bella mengumumkan dua majlis “Kenduri Rakyat” di Muar, Johor, pada 25 Oktober dan Kota Kinabalu, Sabah, pada 31 Oktober bagi meraikan perkahwinan mereka bersama masyarakat setempat.
“Kami mahu memastikan kedua-dua acara ‘Kenduri Rakyat’ ini dapat diraikan bersama rakyat. Ini bermakna semua penduduk kampung dijemput untuk turut serta dalam tradisi rewang dan memasak bersama.
“Tidak ada gunanya menerima perhatian jika ia tidak dimanfaatkan dengan baik dan dikongsi bersama semua,” katanya.
Menurutnya, sumbangan penaja utama, termasuk beras, santan dan barangan keperluan lain, akan diagihkan kepada tetamu di kedua-dua majlis.
Bella, yang nama sebenarnya Dayang Nabellah Awang Astillah, 32, berkata tetamu majlis di Muar digalakkan memakai pakaian yang sesuai, termasuk busana tradisional Johor seperti baju Melayu Teluk Belanga.
“Bagi acara di Kota Kinabalu pula, tetamu digalakkan mengenakan pakaian tradisional mengikut kaum dan komuniti masing-masing di Sabah,” katanya.
/file/attachments/orphans/SS13_737885.png)
