Kes bunuh pelajar: Polis tahan reman seorang remaja lelaki 6 hari
"Saya memeluknya sambil mengajar dia mengucap dua kalimah syahadah," kata nenek mangsa.
Seorang remaja lelaki berusia 16 tahun direman enam hari bagi membantu siasatan kes bunuh seorang pelajar perempuan sebaya yang ditemukan berlumuran darah di sebuah sekolah di Yong Peng semalam. Mangsa ialah Irene Sofiya Mohd Khairool Faisal.
Ketua Polis Johor Ab Rahaman Arsad berkata suspek ditahan kira-kira 7 malam di sekitar Yong Peng, sejam selepas polis menerima maklumat mengenai kejadian itu.
Katanya, polis menerima maklumat daripada orang awam kira-kira 5.50 petang selepas mangsa ditemukan tidak sedarkan diri dan berlumuran darah di sebuah dewan sekolah.
“Mangsa mengalami beberapa kecederaan di bahagian kepala dan badan sebelum disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
“Proses bedah siasat dijalankan hari ini di Hospital Sultanah Nora Ismail, Batu Pahat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut laporan BH Online, polis semalam menahan tiga pelajar lelaki berusia 16 tahun dari sekolah sama untuk membantu siasatan.
Irene Sofiya masih belum pulang kira-kira 5.30 petang semalam, menyebabkan neneknya bimbang lalu pergi ke sekolah untuk mencarinya. Ketika itulah kejadian tersebut terbongkar. Laporan itu menyebut Irene tinggal bersama neneknya selepas ibunya meninggal dunia akibat kanser manakala bapanya bekerja di Kuala Lumpur.
BH Online turut melaporkan nenek Irene menemui cucunya terbaring di lantai ketika tiba di sekolah. Terdapat kesan darah kering dan lebam yang dipercayai akibat dipukul pada tubuh mangsa. Sebuah pasu bunga yang pecah turut ditemui berhampirannya.
Polis menahan tiga pelajar lelaki dari sekolah sama beberapa jam selepas mayat Irene ditemukan.
Polis dijangka membawa salah seorang pelajar itu ke Mahkamah Majistret Batu Pahat pagi ini untuk memohon perintah reman.
Polis menyiasat kes itu mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Nenek mangsa, Jameyah Rabani, 65, dipetik BH Online berkata seorang rakan Irene menemuinya terbaring dalam keadaan berlumuran darah dan nazak, lalu segera memanggilnya masuk ke dewan.
"Saya berlari dan melihat keadaannya yang amat menyayat hati. Ketika itu, cucu sudah tidak boleh bercakap tetapi dia sempat menunjukkan tindak balas dengan mengangkat tangan dan menoleh ke arah saya.
"Saya memeluknya sambil mengajar dia mengucap dua kalimah syahadah,"
Jameyah berkata selepas dia berkali-kali memanggil nama cucunya, Irene semakin tidak memberikan tindak balas.
Sebelum Irene ditemukan, dua rakan sekolahnya datang ke rumah untuk bertanya sama ada dia sudah pulang selepas melihat motosikalnya di kawasan sekolah.
“Pada hari kejadian semalam, arwah menghadiri kelas tambahan bermula jam 2 petang dan berakhir sekitar jam 5 petang.
"Rakannya datang bertanya sama ada cucu sudah pulang atau belum, dan saya jawab belum lagi.
"Hati saya mula gelisah lalu mengajak anak saya (Siti Nur Faeza Khyar, 45) serta rakan arwah untuk mencarinya di dalam kawasan sekolah. Puas kami mencari tetapi tidak menjumpai arwah sehinggalah rakannya menjerit ke arah saya memberitahu terjumpa cucu berada dalam keadaan berdarah," katanya..”
Jameyah berkata: “Saya reda tetapi amat sedih. Kami kehilangannya. Saya dan suami menjaga arwah sejak usia sembilan tahun selepas ibunya meninggal dunia akibat kanser.”
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2019/05/f3bb18bd87a6b214704a8700bfe16513.jpg)
