Loke: Kemelut diraja NS boleh jejas momentum perpaduan Melayu Umno-PAS
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke yakin Umno dan PAS tidak mampu mengekalkan naratif perpaduan Melayu-Islam susulan kemelut takhta diraja yang berlarutan di Negeri Sembilan.
Menurutnya Umno sebelum ini memberi gambaran bahawa mereka mampu menyelesaikan krisis berkenaan selepas membentuk kerajaan negeri.
Dalam wawancara dengan Straits Times, Loke menyifatkan kekalahan PH, yang turut menyaksikan dia tewas di kerusi Chennah yang disandangnya selama tiga penggal, sebagai "hikmah di sebalik musibah".
"Keputusan apa yang mereka buat? Mereka menurunkan pemerintah negeri (Tuanku Muhriz Tuanku Munawir) daripada takhta.
"Sekarang, orang Melayu di seluruh negara boleh melihat bahawa kerajaan Umno-PAS yang melakukan perkara ini. Sebab itu saya katakan DAP terselamat daripada beban ini buat masa ini.
"Dalam keadaan ini, sokongan pengundi terhadap perpaduan Melayu belum tentu dapat dikekalkan," katanya.
BN membentuk kerajaan negeri bersama PN selepas memenangi pilihan raya negeri pada 1 Ogos, dengan memperolehi 25 daripada 36 kerusi berbanding 11 yang dimenangi PH.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2026/01/40e8ad4f0a7339be8d61ef23d275b09c.png)
Kemelut mengenai takhta diraja Negeri Sembilan berpunca daripada proklamasi yang ditandatangani Undang Yang Empat pada 19 April yang menurunkan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir sebagai Yang di-Pertuan Besar dan mengiktiraf Tunku Nadzaruddin Tuanku Ja'afar sebagai pengganti baginda.
Bagaimanapun, pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri enggan mewartakan atau melaksanakan pengisytiharan itu selepas Jabatan Peguam Negara berpandangan proklamasi itu tidak sah.
Kerajaan negeri pimpinan Umno pula menyokong pengisytiharan tersebut, manakala pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri kekal dengan pendirian untuk tidak mewartakannya, menyebabkan pertikaian itu berlarutan.
Mengulas lanjut, Loke berkata DAP tidak menolak kemungkinan bekerjasama dengan parti lain, namun sebarang kerjasama akan berlandaskan prinsip parti serta kepentingan terbaik negara.
"Saya tidak menutup pintu kepada sesiapa. Saya berpegang pada pendirian bahawa kita sudah sampai ke satu tahap di mana politik perlu lebih anjal," katanya.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2026/08/dfbc2f42037b2597b2f7024e97c259b4.jpg)
Dia juga tidak menolak kemungkinan DAP bertanding pada pilihan raya umum akan datang secara bersendirian, dan bukannya sebagai parti komponen PH.
"Sedaya upaya, saya mahu mengekalkan gabungan PH.
"Namun sekali lagi, strategi pilihan raya kita perlu dikaji dari semasa ke semasa. Apakah strategi terbaik, bukan sahaja untuk DAP tetapi juga untuk rakan-rakan kita?
"Saya hanya boleh menjawabnya apabila Parlimen dibubarkan," katanya.
Dia menegaskan bahawa DAP tidak akan menganggap sokongan masyarakat Cina sebagai sesuatu yang pasti, namun mengakui politik gabungan bermakna parti itu tidak dapat melaksanakan sepenuhnya agendanya sendiri.
Katanya, berdasarkan "realiti" politik Malaysia, DAP "tidak mungkin" membentuk kerajaan tanpa kerjasama politik yang strategik.
"Ini adalah realiti yang perlu kita terima: kita hanya boleh pergi sejauh yang mungkin dengan bergantung pada hujah yang objektif dan meyakinkan untuk mencapai sesuatu dalam sistem ini," katanya.
Mengenai Bersama
Ketika ditanya mengenai Parti Bersama Malaysia (Bersama), Loke berpandangan bahawa kuasa ketiga dan parti yang berpegang pada idealisme biasanya tidak mampu mengekalkan momentum dalam politik Malaysia, dengan merujuk Muda sebagai contoh.
Dia berkata Muda pernah menarik calon muda dan profesional serta mengetengahkan matlamat yang idealistik, tetapi pengaruhnya kemudiannya semakin pudar.
Pada Mei lalu, bekas pemimpin PKR Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad keluar daripada parti itu dan mengosongkan kerusi Parlimen masing-masing untuk mengambil alih Bersama.
Kedua-duanya meletakkan jawatan sebagai menteri tahun lalu selepas tewas dalam pemilihan PKR.
Turut mengikut jejak langkah mereka kemudiannya ialah bekas Ahli Parlimen Subang, Wong Chen.
/file/attachments/886/99566fa213522b5ec8390d9d7bc010b4_631428.jpg)
