Agong berkenan menyaksikan F1 GP Bahrain di SIC
Penganjuran semula Formula Satu (F1) di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) selepas sembilan tahun hari ini mendapat perhatian istimewa apabila Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan berangkat menyaksikan perlumbaan F1 Grand Prix Gulf Air Bahrain 2026, bersama-sama pemimpin tertinggi Malaysia, Bahrain dan Brunei.
Keberangkatan tiba Seri Paduka Baginda kira-kira 2.15 petang disambut oleh Putera Mahkota merangkap Perdana Menteri Bahrain Putera Salman bin Hamad Al-Khalifa dan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Yang turut berangkat menyaksikan perlumbaan itu ialah Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah bersama dengan Putera Abdul Mateen Bolkiah, yang disambut oleh Anwar pada kira-kira 2.35 petang.
Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah, Tunku Mahkota Kedah Tunku Shazuddin Ariff Sultan Sallehuddin serta Tengku Mahkota Kelantan Tengku Muhammad Fakhry Petra turut berangkat menyaksikan perlumbaan yang menandakan kembalinya deruman jentera F1 ke Sepang selepas kali terakhir pada 2017.
Permulaan perlumbaan yang dijadualkan pada 3 petang itu, dilewatkan sedikit kerana hujan lebat selepas nyanyian Negaraku dan lagu kebangsaan Bahrain dimainkan.
Acara berkenaan dijangka menarik hampir 100,000 penonton, yang turut diserikan dengan pertunjukan lintas udara fly-past pesawat Gulf Air sebelum perlumbaan dimulakan.
Juara dunia empat kali daripada Red Bull Racing Max Verstappen akan memulakan perlumbaan 56 pusingan itu dari petak pertama, diikuti juara dunia tujuh kali Lewis Hamilton daripada Ferrari dan pendahulu kejuaraan musim ini, Kimi Antonelli daripada Mercedes-AMG Petronas.
Pada Julai lepas, F1 mengesahkan Malaysia sebagai tuan rumah GP Gulf Air Bahrain dari 2 hingga 4 Okt, susulan persetujuan antara Formula 1, Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA) serta kerajaan Malaysia dan Bahrain.
Kepulangan F1 ke Malaysia susulan perbincangan dan kerjasama melibatkan Yang di-Pertuan Agong dan Raja Bahrain Raja Hamad bin Isa Al-Khalifa, selain kedua-dua kerajaan bagi mengekalkan GP Bahrain dalam kalendar F1 2026 selepas perlumbaan berkenaan dibatalkan pada awal musim ini susulan ketegangan geopolitik di Asia Barat.
Malaysia pernah menjadi tuan rumah GP Malaysia di SIC dari 1999 hingga 2017 sebelum perlumbaan itu digugurkan daripada kalendar F1.
- Bernama

