Yang Dipertua Dewan Rakyat Johari Abdul menerima surat peletakan jawatan anggota parlimen Petaling Jaya Lee Chean Chung pada 2 Okt.

Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Ramli Mohd Nor memaklumkan perkara itu pada permulaan Mesyuarat Ketiga, Penggal Kelima Parlimen ke-15 di Dewan Rakyat hari ini.

“Yang Dipertua Dewan Rakyat memaklumkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengenai kekosongan kerusi anggota parlimen berkenaan selaras dengan Perkara 54(1) Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Pada 2 Okt, Lee mengumumkan peletakan jawatannya tanpa syarat sebagai Ahli Dewan Rakyat.

Sementara itu, Ramli turut memaklumkan Akta Perkhidmatan Parlimen 2025 berkuat kuasa pada 1 Okt.

Susulan itu, beliau berkata Majlis Perkhidmatan Parlimen akan ditubuhkan dan bertanggungjawab bagi perkara yang berkaitan dengan perkhidmatan Parlimen.

- Bernama