Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari mempersoalkan sama ada Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke akan menerima sekiranya anggota majlis mesyuarat kerajaan negeri (exco) di negeri lain dipecat daripada jawatan mereka oleh Raja tanpa kelulusan eksekutif.

Ini susulan apa yang berlaku di Negeri Sembilan yang mencipta preseden — yang tidak dicabar oleh Putrajaya — bahawa Raja boleh membatalkan pelantikan anggota exco tanpa nasihat menteri besar.

Setiap perlembagaan negeri mempunyai klausa yang menyatakan bahawa anggota exco berkhidmat atas perkenan sama ada Raja negeri masing-masing, atau oleh Yang di-Pertua negeri bagi yang tidak mempunyai raja.

Dalam satu kenyataan hari ini, Ahmad Fadhli berkata cara peraturan ini ditafsirkan mestilah konsisten, dan bukan hanya dibaca dalam konteks di Negeri Sembilan atau apabila DAP tidak menyukai kerajaan negeri berkenaan.

“Jika anggota pentadbiran negeri boleh kehilangan jawatan apabila perkenan ditarik balik menurut peruntukan perlembagaan yang berkenaan, persoalannya ialah: apakah pendirian saudara (Loke) sekiranya suatu hari nanti keadaan yang sama berlaku terhadap exco kerajaan negeri yang dikuasai parti (DAP) saudara?” soalnya sambil memberi amaran bahawa situasi ini mungkin berlaku pada masa hadapan.

Di Negeri Sembilan, pelantikan semua anggota exco negeri kecuali menteri besar dibatalkan atas alasan tidak setia, selepas mereka mengeluarkan kenyataan menyokong pengisytiharan Undang yang dipertikaikan untuk memecat Tuanku Muhriz Tuanku Munawir sebagai Yang di-Pertuan Besar.

Pembatalan itu diwartakan, namun Undang berkenaan mencabarnya.

Umno — yang memimpin kerajaan negeri — memberi isyarat bahawa ia akan akur dengan pemecatan itu, dan sedang berusaha untuk mencari penyelesaian bersama dengan Tuanku Muhriz.

Bidasan Ahmad Fadhli terhadap Loke dibuat susulan kenyataan setiausaha agung DAP itu yang mendakwa krisis di Negeri Sembilan boleh menjejaskan agenda penyatuan Melayu antara Umno dan PAS.

Ketua Penerangan PAS itu tidak bersetuju dengan penilaian berkenaan, dan berkata rakyat akan melihat bahawa isu ini merentasi Umno dan partinya.

Sebaliknya, dia berkata rakyat mungkin akan menilai bagaimana Perdana Menteri, Anwar Ibrahim dan kerjaan persekutuan mengendalikan krisis berkenaan.

Anwar dan Jabatan Peguam Negara mengeluarkan kenyataan yang memihak kepada Tuanku Muhriz, termasuk apabila Jabatan Peguam Negara menolak percubaan kerajaan negeri untuk memecat setiausaha kerajaan negeri supaya mereka boleh mewartakan pelantikan pemohon takhta saingan, Tunku Nadzaruddin Tuanku Ja'afar sebagai Yang di-Pertuan Negeri.