Berang dengan kelewatan tren, menteri usul hukuman lebih berat bagi kecurian kabel
PARLIMEN l Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming hari ini mencadangkan pindaan kepada undang-undang sedia ada bagi mengenakan hukuman lebih berat terhadap aktiviti mencuri kabel.
Bercakap di Dewan Rakyat, dia berkata aktiviti tersebut telah menyebabkan gangguan kepada pengangkutan awam seperti perkhidmatan LRT dan mendapat perhatian kabinet yang memandang serius perkara itu.
“Soalan ini sepatutnya dijawab oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN). Bagaimanapun memang KPKT sentiasa berinteraksi dengan KDN (mengenai isu ini).
“... kita bukan saja mungkin perlu pinda undang-undang supaya hukuman hukuman yang lebih berat dikenakan kepada kes kecurian kabel.
“Kerana beberapa kalilah terjadi LRT dekat Kelana Jaya tidak dapat beroperasi akibat bukan akibat daripada kesilapan operasi (tetapi) akibat daripada kehilangan kabel dicuri oleh sindiket,” katanya semasa sesi soalan lisan pagi ini.
Nga (PH-Teluk Intan) menjawab soalan tambahan daripada Mumtaz Md Nawi (PN-Tumpat) yang mahu menteri menjelaskan tindakan penguatkuasaan yang diambil oleh KPKT untuk menangani masalah itu.
Peningkatan aktiviti kecurian kabel dilaporkan menyebabkan masalah besar kepada industri pengangkutan awam, terutamanya perkhidmatan transit rel.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke dilaporkan berkata bahawa Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB) berdepan ratusan jam kelewatan dan gangguan sepanjang 2025 berpunca daripada kecurian kabel.
Menurutnya, kecurian itu menyebabkan kelewatan selama 562 jam bagi perkhidmatan Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) dan 741 jam gangguan bagi perkhidmatan KTM Komuter, yang pengendali rel kebangsaan itu bekerjasama dengan agensi penguatkuasaan sebagai langkah serta-merta untuk menangani isu berkenaan.
Pada Oktober tahun yang sama, Rapid Rail Sdn Bhd melaporkan bahawa laluan MRT Putrajaya memerlukan pembaikan meluas berikutan suspek kecurian kabel.
Menurut syarikat itu, siasatan teknikal mendapati jumlah kabel gentian optik yang lebih besar dipotong dan dicuri, sekali gus memerlukan pembaikan meluas bagi memastikan operasi yang stabil dan selamat dapat disambung semula.
/file/attachments/orphans/564434453_706873.png)
