Ketika kos penjagaan kesihatan, penjagaan anak, pendidikan dan perumahan semakin membebankan pendapatan isi rumah, seorang ahli parlimen PAS menggesa kerajaan memperkenalkan “pakej sokongan” bersasar untuk golongan berpendapatan sederhana (M40) dalam Belanjawan 2027.

Ahli Parlimen Bachok Syahir Sulaiman berkata M40 berdepan tekanan kewangan yang semakin meningkat dan memerlukan bantuan lebih bersasar apabila belanjawan dibentangkan di Parlimen pada Jumaat ini, 9 Okt.

“Terpenting, Belanjawan 2027 perlu mengiktiraf peranan golongan pertengahan (M40), dengan menyediakan ‘pakej sokongan’ yang lebih bersasar bagi meringankan tekanan kewangan yang semakin dirasai.

“Kos penjagaan kesihatan, penjagaan anak dan pendidikan, selain komitmen perumahan, mengambil bahagian yang semakin besar daripada pendapatan isi rumah.

“Ramai juga tergolong dalam ‘generasi sandwic’ yang menyara anak-anak dan ibu bapa yang semakin berusia,” katanya pada kenyataan hari ini.

Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dan panduan kewangan, julat umum pendapatan kasar bulanan isi rumah M40 sekitar RM5,860 hingga RM12,679.

Bagaimanapun, ambang pendapatan boleh berbeza mengikut hasil tinjauan terkini dan perbezaan kos sara hidup antara kawasan.

Syahir berkata tekanan terhadap isi rumah dijangka meningkat apabila Malaysia beralih ke arah masyarakat menua, dengan ketua isi rumah yang bekerja dijangka memikul tanggungjawab penjagaan dan komitmen kewangan lebih besar.

“Ketua isi rumah yang bekerja bakal memikul tanggungjawab penjagaan dan komitmen kewangan yang lebih besar.

“Menjelang Belanjawan 2027, tumpuan perlu diberikan kepada pendapatan isi rumah, kestabilan pekerjaan dan tekanan kos sara hidup, khususnya dalam kalangan keluarga berpendapatan sederhana (M40) yang menjadi tulang belakang pertumbuhan ekonomi negara,” katanya lagi.

Katanya, meskipun ekonomi negara berkembang melangkaui jangkaan, ringgit mengukuh dan pasaran buruh kelihatan stabil, petunjuk itu akhirnya perlu diterjemahkan kepada peningkatan taraf hidup rakyat.

“Persoalannya, ramai rakyat tidak merasai manfaat pertumbuhan ini, malah tidak mengendahkan angka rasmi kerajaan yang dilaporkan indah ini,” katanya lagi.

Bulan lalu, Menteri Kewangan II Amir Hamzah Azizan berkata M40 tidak tercicir daripada bantuan kerajaan, dengan sokongan disalurkan dalam pelbagai bentuk, termasuk subsidi bersasar, perkhidmatan kesihatan dan pendidikan serta pewujudan pekerjaan berkualiti.

Katanya, pendekatan kerajaan mengambil kira keperluan berbeza setiap lapisan masyarakat, dan bantuan tidak seharusnya dinilai semata-mata berdasarkan pemberian wang tunai secara langsung.

Kerajaan memahami setiap orang mempunyai keperluan masing-masing, jadi sesetengah bentuk bantuan diberikan secara berbeza, katanya.

Amir Hamzah dipetik Astro Awani berkata antara sokongan yang tersedia untuk M40 ialah subsidi bahan api bersasar, yang memastikan manfaat terus dinikmati rakyat Malaysia yang layak sambil mengurangkan ketirisan kepada pihak yang tidak layak.

Belanjawan 2027 akan dibentangkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim, yang juga menteri kewangan.

Menurut kenyataan prabelanjawan 2027 yang dikeluarkan Kementerian Kewangan, Belanjawan Madani kelima itu akan terus berpaksikan tiga tonggak Ekonomi Madani: menaikkan siling pertumbuhan negara, menaikkan lantai kesejahteraan rakyat dan memacu pembaharuan tatakelola pentadbiran negara.