Menjelang PRN Melaka - PN fail semakan kehakiman, cabar tindakan RoS
Perikatan Nasional (PN) menfailkan permohonan semakan kehakiman bagi mencabar dua notis yang dikeluarkan oleh Pendaftar Pertubuhan (RoS), dengan memohon pendengaran mahkamah secara segera sebelum Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memutuskan tarikh bagi PRN Melaka.
Setiausaha Agung PN Takiyuddin Hassan berkata permohonan itu difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada jam 10.14 pagi hari ini, bagi mendapatkan penjelasan berhubung status gabungan berkenaan dan jika ia boleh bertanding dalam PRN Melaka menggunakan logo PN.
Bercakap dalam sidang media di Parlimen pagi ini, Takiyuddin berkata permohonan tersebut turut menyertakan perakuan segera memandangkan SPR dijangka memutuskan tarikh-tarikh penting bagi pilihan raya Melaka pada Rabu (7 Okt).
“Kita juga telah berhubung dengan pihak SPR. Mereka mengatakan itu bergantung kepada RoS sebagai badan pengawalselia pertubuhan-pertubuhan termasuk pertubuhan politik,” katanya.
Dia berkata setiausaha agung lima daripada enam parti komponen PN telah dinamakan sebagai pemohon: Takiyuddin sendiri, bersama Saifuddin Abdullah (Wawasan Negara), Sathes Kumar (Malaysian Indian People's Party), Wong Chia Zhen (Gerakan), dan Sazmi Miah (Pejuang).
Responden yang dinamakan pula ialah Ketua Pengarah RoS Zulkifar Ahmad dan Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail.
Sebelum ini, Takiyuddin mengesahkan bahawa PN menerima notis tunjuk sebab pada 22 Sept daripada RoS yang memberi amaran mengenai pembatalan pendaftaran gabungan berkenaan.
PN turut menerima notis berasingan pada 23 Sept yang mengarahkannya menghentikan sebarang aktiviti menggunakan nama gabungan itu.
Ketika itu, anggota parlimen Kota Bharu tersebut menyifatkan tindakan berkenaan berunsur politik dan berkaitan dengan aduan oleh Bersatu berhubung keputusan PN untuk tidak menjemput parti itu ke mesyuarat PN pada 16 Julai.
Hari ini, Takiyuddin menjelaskan bahawa mesyuarat tersebut dipanggil bagi membincangkan pilihan raya Negeri Sembilan dan perkara-perkara lain, namun PN memutuskan untuk tidak menjemput Bersatu selepas kepimpinan tertinggi parti itu memutuskan pada 15 Julai bahawa ia akan bertanding dalam pilihan raya menggunakan logonya sendiri dan bukannya logo gabungan berkenaan.
Dia mengulangi kebimbangannya bahawa penglibatan Bersatu boleh membatalkan keputusan PN kerana parti itu tidak dapat memenuhi kuorum yang ditetapkan di bawah perlembagaannya bagi mesyuarat majlis pimpinan tertinggi.
Takiyuddin berkata perlembagaan Bersatu menetapkan kuorum seramai 25 orang, namun parti itu kini hanya mempunyai 23 anggota majlis pimpinan tertinggi.
Takiyuddin seterusnya mempersoalkan cara RoS mengendalikan perkara itu, dengan merujuk aduan terdahulu oleh empat anggota parlimen Bersatu berhubung isu kuorum berkenaan.
RoS telah membalas aduan anggota-anggota parlimen tersebut dengan menyatakan bahawa Bersatu boleh mentafsirkan perlembagaannya sendiri dan badan pengawal selia itu tidak mempunyai kuasa untuk campur tangan dalam urusan dalaman parti, dakwanya.
"Tetapi mengapa ROo campur tangan dalam urusan pentadbiran PN?" soalnya.
PN telah cuba menemui Ketua Pengarah RoS bagi menyelesaikan isu tersebut namun belum mendapat janji temu, katanya.
Dia berkata PN telah menulis surat kepada RoS bagi mendapatkan penjelasan rasmi mengenai statusnya sebagai koalisi politik yang berdaftar dan sama ada ia masih layak meletakkan calon dalam pilihan raya, khususnya PRN Melaka yang bakal berlangsung.
Menurutnya, perbincangan masih berjalan dalam PN berhubung tindakan seterusnya sekiranya gagal mendapatkan kejelasan undang-undang mengenai sama ada gabungan itu boleh bertanding dalam PRN Melaka menggunakan logo PN.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2022/11/aa16b69409642838a87d5ec88eb05d82.jpg)
