Shuhaily tak dapat terima pelantikan FAM
Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) Malaysia, Mohd Shuhaily Mohd Zain, hari ini dilaporkan menolak pelantikan jawatan penting yang dibuat Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) baru-baru ini.
Menurut badan induk bola sepak Malaysia itu, Mohd Shuhaily memaklumkan dia terkekang dengan tanggungjawabnya sebagai Ketua Pengarah AKPS.
"FAM menghormati keputusan tersebut serta merakamkan penghargaan kepada Dato' Sri Mohd Shuhaily atas kesediaan dan komitmen beliau sebelum ini untuk membantu FAM dalam memperkukuhkan aspek integriti dan tadbir urus," kata FAM dalam kenyataan petang ini.
Pada 30 Sept lalu Malaysiakini melaporkan Mohd Shuhaily dilantik sebagai Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Integriti FAM bagi penggal 2025 hingga 2029.
Pelantikan itu diumumkan Presiden FAM, Ab Ghani Hassan, selepas mengadakan mesyuarat jawatankuasa eksekutif badan tersebut di Kelana Jaya.
Pengerusi jawatankuasa itu pula ialah bekas Timbalan Ketua Polis Negara Ayob Khan Mydin Pitchay.
Menurut Ab Ghani, pelantikan individu dari luar FAM bagi menerajui jawatankuasa tertentu dibuat berdasarkan kredibiliti dan pengalaman dalam bidang berkaitan, sekali gus memperkukuh tadbir urus badan induk bola sepak negara itu.
Baru-baru ini Mohd Shuhaily terbabit dengan insiden kontroversi apabila dilihat memarahi dua anggota keselamatan di KLIA dan rakaman kamera litar tertutup kejadian itu kemudian tular di media sosial.
Dia yang sebelum ini merupakan bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman bagaimanapun mempersoalkan motif di sebalik penularan rakaman kejadian tersebut.
Mohd Shuhaily juga berkata, AKPS menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan ke atasnya dan akan memberikan kerjasama penuh.
“Saya tidak mahu KLIA jadi seperti Selayang dan saya tidak mahu membiarkannya hingga jadi seperti Selayang,” katanya merujuk kepada isu warga asing.
Menjelaskan pendirian Mohd Shuhaily, FAM hari ini memberitahu mereka menghormati keputusan berkenaan dan merakamkan penghargaan kepadanya atas kesediaan dan komitmen yang diberikan sebelum ini.
"FAM akan memastikan kelancaran fungsi jawatankuasa integriti terus diberi perhatian bagi menyokong usaha memperkukuhkan integriti dan tadbir urus FAM," katanya.
/file/attachments/orphans/1111111_266904.png)
