Bedah siasat sahkan kecederaan trauma di kepala punca kematian Irene Sofiya
Bedah siasat terhadap mayat Irene Sofiya Mohd Khairool Faisal, 16, yang dipercayai dibunuh di sebuah sekolah di Yong Peng, Batu Pahat, Johor, pada Sabtu lepas mendapati punca kematian akibat trauma tumpul di kepala.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman M Kumar berkata bedah siasat dijalankan semalam oleh pakar patologi dari Jabatan Forensik Hospital Sultanah Nora Ismail, Batu Pahat.
Seorang remaja lelaki berumur 16 tahun ditangkap pada 3 Okt dan permohonan reman dibenarkan oleh Majistret selama enam hari hingga 9 Okt bagi membantu siasatan, katanya dalam kenyataan di Kuala Lumpur hari ini.
/file/attachments/orphans/p3342da_487892.png)
Kumar berkata siasatan dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh, dan pihak sekolah serta Kementerian Pendidikan memberi kerjasama sepenuhnya kepada polis dalam siasatan kes itu.
Beliau memberi jaminan bahawa siasatan akan dijalankan secara menyeluruh, telus dan profesional tanpa sebarang elemen cover-up atau melindungi mana-mana pihak.
Kes masih di peringkat siasatan dan orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat spekulasi atau memberi sebarang komen yang boleh mengganggu proses siasatan atau memanipulasi fakta dengan tujuan menyebabkan kegusaran kepada masyarakat, katanya.
Sabtu lepas, Irene Sofiya ditemukan tidak sedarkan diri dan berlumuran darah di dewan sekolah terbabit pada kira-kira 5.50 petang.
/file/attachments/orphans/p2_142633.png)
Ketua Polis Johor Ab Rahaman Arsad berkata mangsa mengalami beberapa kecederaan pada bahagian kepala dan badan sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Suspek ditahan di sekitar Yong Peng kira-kira 7 malam pada hari yang sama.
- Bernama
/file/attachments/orphans/p5asdas2d_114844.png)
