Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan kebenaran Badan Peguam Malaysia untuk memulakan semakan kehakiman bagi mencabar pelantikan Hakim Mahkamah Persekutuan Ahmad Terrirudin Salleh menganggotai Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC).

Hakim Norliza Othman, dalam keputusannya hari ini, memutuskan bahawa pelantikan Ahmad Terrirudin dibuat mengikut undang-undang, berdasarkan Seksyen 5(1)(e) Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman 2009, dan Majlis Peguam tidak mempunyai locus standi untuk mencabarnya.

“Seksyen 5(1)(e) adalah jelas. Ia menentukan kategori individu - iaitu hakim Mahkamah Persekutuan - dan pihak yang melantik, iaitu PM, dan terhenti di situ.

“Premis utamanya ialah Seksyen 5(1)(e) mesti dibaca secara bertujuan sehingga kriteria tersirat tidak boleh dipertikaikan.

“Pendekatan literal terpakai; peruntukan itu hanya memerlukan hakim Mahkamah Persekutuan sedia ada yang dilantik oleh PM (yang kedua-duanya dipenuhi), dan mahkamah tidak boleh menambah kriteria yang tidak digubal oleh Parlimen,” katanya.

Seksyen 5(1)(e) menyentuh mengenai pelantikan seorang hakim Mahkamah Persekutuan ke dalam JAC oleh perdana menteri.

Perkara 122B Perlembagaan pula mengawal pelantikan hakim-hakim atasan, termasuk ketua hakim negara, presiden Mahkamah Rayuan, ketua-ketua hakim Mahkamah Tinggi, serta hakim-hakim mahkamah atasan yang lain.

Mahkamah hari ini juga memutuskan tiada apa-apa dalam pelantikan Terrirudin yang tidak logik atau bertentangan dengan piawaian moral yang diterima sehingga tiada pembuat keputusan yang munasabah boleh mencapainya.

"Syak wasangka dan dakwaan yang belum diselesaikan tidak boleh menjadi asas semakan."

Norliza menambah bahawa JAC hanya mengesyorkan calon untuk pelantikan hakim, manakala kuasa pelantikan terletak pada Yang di-Pertuan Agong atas nasihat PM di bawah Perkara 122B Perlembagaan Persekutuan.

Badan Peguam memfailkan permohonan itu melalui Tetuan Clinton Tan pada 12 Feb tahun ini, dengan menamakan Terrirudin, PM Anwar Ibrahim, JAC dan kerajaan sebagai responden pertama hingga keempat.

Dalam permohonannya, Badan Peguam memohon beberapa deklarasi daripada mahkamah, termasuk perintah mandamus untuk memaksa Anwar melaksanakan prerogatif melantik anggota JAC mengikut undang-undang.

Ia juga mahu mahkamah mengeluarkan perintah quo warranto bagi memaksa Terrirudin menunjukkan sebab dan mempamerkan asas pelantikannya ke JAC berbanding anggota badan kehakiman yang lain, serta perintah sama kepada Anwar, JAC, dan kerajaan berhubung pelantikan itu.

Pelantikan Terrirudin

Ahmad Terrirudin dilantik sebagai salah seorang daripada sembilan anggota JAC pada November lepas, menggantikan bekas hakim Mahkamah Persekutuan Zabariah Yusof yang bersara pada Oktober.

Dia dilantik oleh Anwar di bawah kuota lima anggota yang dipilih oleh eksekutif.

Di bawah kuota itu, PM boleh melantik seorang hakim Mahkamah Persekutuan dan empat orang tokoh terkemuka yang bukan anggota eksekutif atau perkhidmatan awam lain.

Empat anggota JAC lain, yang dilantik secara automatik berdasarkan jawatan mereka dalam badan kehakiman, ialah ketua hakim negara yang juga pengerusi suruhanjaya, presiden Mahkamah Rayuan, dan dua hakim besar yang mewakili Sanah dan Sarawak.

Langkah itu disifatkan sebagai sisihan daripada amalan biasa yang menyerahkan slot tersebut kepada hakim senior Mahkamah Persekutuan.

Dari segi senioriti, hakim teratas Mahkamah Persekutuan ialah Rhodzariah Bujang yang menyertai mahkamah tertinggi itu pada Mac 2020, manakala Terrirudin menyertai pada November 2024.

Ketua Hakim Negara Wan Ahmad Farid Wan Salleh berkata pada Disember bahawa pelantikan itu dibuat atas budi bicara PM mengikut undang-undang, tanpa perlu berunding dengan sesiapa, termasuk dirinya, dan keputusan itu tidak boleh dicabar.

Kontroversi JAC

JAC memilih individu yang layak dilantik sebagai hakim mahkamah atasan untuk pertimbangan PM, antara peranan lain.

Ia menjadi subjek penelitian dan kontroversi sengit susulan dakwaan bahawa seorang hakim Mahkamah Persekutuan dituduh campur tangan dalam urusan kehakiman semasa mesyuarat suruhanjaya pada Mei.

Pertanyaan oleh Malaysiakini kepada hakim berkenaan pada Jun membawa kepada siasatan polis selepas hakim itu mengarahkan seorang pegawai membuat laporan polis.

Seterusnya pada Julai, draf minit mesyuarat yang didakwa bocor tersebar di media sosial.

Ini membawa kepada skandal kehakiman menyeluruh, dengan kebimbangan bahawa pihak eksekutif cuba menguasai badan kehakiman, manakala hakim yang dimaksudkan itu didakwa dalam persediaan untuk menjadi hakim besar Malaya dan seterusnya ketua hakim negara.