Bekas setiausaha politik kanan kepada perdana menteri, Shamsul Iskandar Mohd Akin memohon untuk mendapatkan pasport antarabangsanya secara kekal bagi memudahkan beliau menghadiri beberapa program di luar negara.

Pasport itu sebelum ini diserahkan kepada mahkamah sebagai syarat jaminan tambahan selepas beliau didakwa atas lima pertuduhan rasuah.

Berdasarkan afidavit sokongan permohonan diperoleh media, Shamsul Iskandar berkata permohonan tersebut adalah bagi membolehkan beliau melakukan perjalanan ke luar negara sebagai sebahagian daripada tugasnya dengan mudah.

Shamsul Iskandar selaku pemohon berkata dalam masa terdekat, beliau berhasrat untuk melakukan perjalanan ke Frankfurt, Jerman bagi menghadiri pesta buku bertajuk 'Frankfurt Book Fair' yang dianjurkan Rex Education, pada 7 Okt hingga 11 Nov ini.

“Berdasarkan penglibatan saya dengan Akademi Kepimpinan Masyarakat Madani, penyertaan saya dalam pesta buku tersebut bertujuan untuk memupuk sinergi antara organisasi serta memberikan manfaat bersama kepada kedua-dua entiti.

"Justeru, penyertaan ini akan bermanfaat bagi memperoleh pendedahan antarabangsa bagi menyokong serta mempertingkatkan inisiatif akar umbi yang sedang dijalankan bagi memperkasakan prinsip Masyarakat Madani, khususnya melalui promosi literasi, kepimpinan dan pemupukan ilmu," kata Shamsul Iskandar menerusi afidavit itu.

Bagi lawatan di London, Shamsul Iskandar berkata beliau mendaftar untuk Sidang Kemuncak AlBaraka ke-5 bertajuk Ethics in Action: Rebuilding Foundations and Advancing the Global Impact of the Islamic Economy' yang akan berlangsung dari 13 hingga 14 Okt ini.

"Objektif utama sidang kemuncak tersebut adalah untuk memberi tumpuan kepada pengukuhan asas etika yang autentik bagi institusi kewangan Islam dan institusi bukan kewangan, sistem tadbir urus serta amalan pasaran," katanya dalam afidavit.

Selain itu, Shamsul Iskandar berkata beliau juga akan menghadiri program di Ireland serta Bosnia dan Herzegovina pada November dan Disember ini.

Pada prosiding hari ini, peguam Yusmadi Yusoff yang mewakili Shamsul Iskandar memaklumkan kepada Hakim Mahkamah Sesyen Suzana Hussin bahawa selain permohonan bagi mendapatkan pasport secara kekal yang difailkan 30 Sept lepas, anak guamnya juga memohon agar pasport diserahkan secara sementara bagi membolehkan beliau menghadiri program di Frankfurt dan London bulan ini.

Timbalan Pendakwa Raya Julaila Jamaludin yang membantah permohonan Shamsul Iskandar untuk mendapatkan pasport secara kekal berkata dokumen dikemukakan dalam permohonan tersebut hanya berupa surat jemputan dan terdapat perbincangan yang boleh dijalankan secara dalam talian.

Bagaimanapun, Julaila tidak membantah permohonan Shamsul Iskandar untuk mendapatkan pasport secara sementara.

Hakim Suzana kemudian membenarkan permohonan Shamsul Iskandar untuk mendapatkan pasport secara sementara bermula hari ini dan perlu diserahkan semula kepada mahkamah pada atau sebelum 16 Okt ini.

Selain itu, mahkamah memerintahkan pihak pendakwaan memfailkan afidavit balasan terhadap permohonan Shamsul Iskandar bagi mendapatkan pasport secara kekal pada atau sebelum 19 Okt ini dan menetapkan keputusan terhadap permohonan itu pada 8 Dis ini.

Shamsul Iskandar, 51, didakwa atas dua pertuduhan bersetuju menerima suapan untuk dirinya, iaitu wang tunai RM140,000 daripada ahli perniagaan Tei Jiann Cheing atau turut dikenali sebagai Albert Tei sebagai dorongan membantu syarikat milik Tei untuk mendapatkan kelulusan lesen penerokaan mineral di Sabah.

Beliau turut didakwa atas dua lagi pertuduhan iaitu memperoleh untuk dirinya satu suapan berupa kelengkapan perabot dan barangan elektrik bernilai RM14,580.03 dan RM22,249 daripada individu sama bagi tujuan sama.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di premis di Jalan Medang Serai, Bukit Bandaraya; di tempat letak kereta sebuah hotel di Jalan Sultan Hishamuddin di Kuala Lumpur; serta di Jalan P14A 1/1, Presint 14, Putrajaya, antara 7 Dis 2023 hingga 31 Jan 2024, serta antara 24 Nov 2023 hingga 5 Mac 2024.

Shamsul Iskandar turut didakwa atas satu pertuduhan memperoleh suapan berjumlah RM64,924 yang dimasukkan ke dalam akaun CIMB Bank milik Rahmalidya Buyong bagi tujuan pembayaran penyewaan sebuah rumah di Jalan Medang Serai, Bukit Bandaraya, di Kuala Lumpur, daripada Tei bagi membantu syarikat milik Tei untuk mendapatkan kelulusan lesen penerokaan mineral di Sabah.

Kesemua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun serta denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan, atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

- Bernama