Seorang penceramah motivasi direman lagi selama dua hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes berkaitan laporan polis terhadapnya di Kangar yang diterima pada 3 Okt.

Ketua Polis Perlis Hamzah Hashim ketika dihubungi Bernama mengesahkan perkara itu.

Semalam, media melaporkan polis menerima satu lagi laporan terhadap lelaki berusia 33 tahun itu berkaitan dakwaan gangguan seksual.

Hamzah berkata laporan itu melibatkan seorang pengadu perempuan berusia 19 tahun dan kes disiasat mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil.

Terdahulu, penceramah motivasi itu direman dua hari bermula Sabtu lepas berkaitan laporan polis di Padang Besar sebelum dilepaskan dengan jaminan polis.

Bagaimanapun, lelaki itu ditangkap semula oleh polis daripada Ibu Pejabat Polis Daerah Kangar untuk tindakan selanjutnya.

- Bernama