'Tuduhan derhaka dibuat tanpa petik satu pun seksyen undang-undang'
Undang Negeri Sembilan yang terlibat dalam kiris diraja menafikan dakwaan "derhaka" sambil menegaskan Dewan Keadilan dan Undang (DKU) gagal mengenal pasti undang-undang yang dikatakan telah mereka langgar.
Dalam kenyataan 11 muka surat yang dikeluarkan hari ini, Undang Yang Empat dan Tunku Besar Tampin berkata tuduhan itu dibuat tanpa memetik satu pun peruntukan undang-undang.
“Tuduhan ‘derhaka’ dan gesaan supaya pihak berkuasa mendakwa dibuat tanpa memetik satu seksyen undang-undang pun,” tegas mereka.
Mereka turut menegaskan bahawa mereka hanya melaksanakan kuasa yang diperuntukkan di bawah Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (UUTKNS).
Kenyataan itu dibuat selepas DKU menggesa Tunku Nadzaruddin Tuanku Ja’afar dan Undang yang menyokongnya supaya disiasat dan didakwa.
DKU sebelum ini menuduh Tunku Nadzaruddin melakukan perbuatan derhaka susulan surat yang dihantar kepada Ketua Setiausaha Negara Shamsul Azri Abu Bakar dan Peguam Negara Dusuki Mokhtar pada 30 Sept.
Antara lain, surat tersebut meminta pihak berkuasa persekutuan supaya tidak mengiktiraf warta dan arahan yang dikeluarkan atas nama Yang di-Pertuan Besar Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.
Tunku Nadzaruddin turut merujuk dirinya sebagai Yang di-Pertuan Besar dalam surat berkenaan, yang turut ditandatangani Undang yang menyokongnya.
DKU berkata surat berkenaan merupakan satu perbuatan derhaka dan boleh menjadi kesalahan di bawah Kanun Keseksaan, selain menggesa polis dan Jabatan Peguam Negara menyiasat serta memulakan pendakwaan.
Syarat perlembagaan dipenuhi?
Antara perkara utama yang dipertikaikan ialah sama ada Undang berkenaan telah memenuhi kehendak Perkara 10 UUTKNS sebelum mengambil langkah untuk menurunkan Tuanku Muhriz sebagai Yang di-Pertuan Besar.
DKU sebelum ini berhujah bahawa pertemuan pada 5 Mac tidak boleh dianggap sebagai “siasatan penuh dan lengkap” seperti yang dikehendaki di bawah Perkara 10, dengan merujuk kepada ketiadaan minit mesyuarat, laporan atau dapatan, selain mendakwa Tuanku Muhriz tidak dimaklumkan bahawa baginda sedang disiasat.
Bagaimanapun, Undang berkenaan mempertikaikan tafsiran DKU itu.
Mereka berkata kenyataan DKU tidak menafikan bahawa beberapa soalan telah diajukan kepada Tuanku Muhriz pada 5 Mac, sebaliknya hanya menyatakan bahawa tiada siasatan direkodkan dalam rekod Setiausaha DKU.
Menurut mereka, Perkara 10 menghendaki siasatan dilakukan oleh Undang sendiri dan tidak menyatakan bahawa siasatan sedemikian perlu dijalankan atau direkodkan oleh sekretariat DKU.
Mereka turut berkata Tuanku Muhriz telah disoal secara bersemuka pada 5 Mac dan diberi peluang untuk menjawab.
Proses itu, tambah mereka, melibatkan pertanyaan secara langsung kepada Tuanku Muhriz, diikuti tempoh pertimbangan selama 45 hari sebelum keputusan sebulat suara dicapai.
“Dan Perkara 10 tidak menetapkan syarat tambahan seperti notis bertulis, pertuduhan rasmi, pemeriksaan saksi atau alasan bertulis,” kata mereka.
Kenyataan penuh Undang berkenaan adalah seperti berikut:
Kenyataan penuh DKU boleh dibaca di bawah:
/file/attachments/orphans/undang423_276515.png)
