Enam projek pembangunan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) didapati berdepan masalah pelaksanaan termasuk ditamatkan, mengalami pelanjutan masa yang panjang, gagal disiapkan mengikut jadual dan projek perumahan yang telah siap tetapi tidak boleh diduduki, menurut Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2/2026.

Projek pembangunan berkenaan terdiri daripada dua projek pembinaan Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT), projek menaik taraf Galeria Perdana di Langkawi serta tiga projek perumahan dan kuarters balai bomba di Sabah.

Projek RKAT Angkatan Tugas Bersama (ATB) 2, Kem Kukusan di Tawau, Sabah bernilai RM100 juta, yang sepatutnya siap pada Julai 2024, hanya mencapai 28 peratus kemajuan fizikal setakat 31 Dis 2024 sebelum ditamatkan pada 23 Mei 2025.

Menurut LKAN, projek di bawah Kementerian Pertahanan itu mengalami dua lanjutan masa (EOT) selama 418 hari sebelum ditamatkan berikutan kelemahan pengurusan kewangan kontraktor dan kegagalan melaksanakan kerja dengan tekun sehingga aktiviti di tapak terhenti.

Setakat 30 Julai 2026, Jabatan Kerja Raya (JKR) menyediakan dokumen tender bagi pelantikan kontraktor penyiap manakala kenaikan kos RM3.90 juta bagi projek berkenaan diluluskan Kementerian Ekonomi pada 6 Ogos 2026.

Sementara itu, projek RKAT Pangkalan Udara, Labuan bernilai RM63.25 juta mengalami empat EOT selama 467 hari hingga 2025 dan dua EOT tambahan selama 410 hari pada 2026, dengan tarikh baharu penyiapan ditetapkan pada 17 Nov 2026.

Menurut laporan itu, setakat 30 Julai 2026, kemajuan fizikal projek tersebut hanya mencapai 51 peratus berbanding 54 peratus mengikut jadual manakala kelewatan antaranya berpunca daripada kekurangan pekerja mahir dan bekalan bahan mentah yang perlu dibawa masuk dari luar Labuan.

Bagi Projek Menaik Taraf Galeria Perdana di Langkawi bernilai RM20.40 juta, kontrak ditamatkan pada 23 Sept 2024 selepas empat EOT selama 192 hari diberikan, dengan Ganti Rugi Tertentu dan Ditetapkan (LAD) terkumpul RM440,000 bagi tempoh kelewatan 136 hari.

Susulan audit mendapati projek itu diserahkan kepada JKR pada Januari 2025 untuk tindakan lanjut manakala anggaran kos penyiapan semula meningkat RM36 juta kepada RM56.40 juta, dan proses tender bagi pelantikan kontraktor penyiap dijangka pada Februari 2027.

Untuk Projek Program Perumahan Rakyat (PPR) Kampung Selagon di Beaufort bernilai RM23.70 juta, yang membabitkan 67 rumah siap pada 2017, kesemua unit masih tidak diduduki hingga Julai 2026 akibat kerosakan disebabkan pergerakan tanah.

Sebanyak 13 rumah mengalami kerosakan teruk dan kontrak bernilai RM2.72 juta bagi meroboh serta membina semula lapan unit dan membaiki lima unit turut ditamatkan secara bersama pada 11 Mac 2025 selepas kemajuan fizikal hanya mencapai 15 peratus.

Projek Pembinaan Semula Kuarters Balai Bomba dan Penyelamat Semporna bernilai RM14.39 juta pula ditamatkan pada 11 Mac 2025 selepas lima EOT selama 1,164 hari diberikan, dengan kemajuan kerja hanya 25 peratus dan RM2.83 juta dibelanjakan.

Menurut LKAN, projek itu ditamatkan berikutan ketidakupayaan kontraktor dari segi kewangan, kegagalan melaksanakan kerja mengikut program serta kelemahan pengurusan dan pemantauan manakala tender semula diiklankan pada Jun 2026 dan projek kini di peringkat penilaian tender.

Sementara itu, Projek Pembinaan Balai Bomba dan Kuarters Merotai bernilai RM6.85 juta ditamatkan pada 5 Nov 2025 walaupun kemajuan kerja mencapai 96.6 peratus, selepas tujuh EOT selama 1,075 hari diberikan.

Sehubungan itu, Ketua Audit Negara menyarankan pihak kementerian dan jabatan yang terlibat mengambil tindakan segera bagi memastikan projek dapat disiapkan agar objektif pembangunan tercapai dan manfaat projek dapat dinikmati oleh golongan sasar.

- Bernama