PRN Melaka: Bersama wajibkan calon isytihar harta, pengundi boleh ‘jemput’ ke rumah
Parti Bersama menetapkan syarat untuk kesemua 16 calon parti itu yang bakal bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka 2026, diwajibkan membuat pengisytiharan harta menerusi Akuan Berkanun (SD), sebelum watikah pencalonan diserahkan.
Langkah ini diiringi pengenalan inisiatif interaktif 'jemput calon' yang membolehkan pengundi Melaka membuat janji temu terus di laman web parti bagi menjemput calon datang ke kediaman atau kawasan perumahan untuk membincangkan isu setempat.
Pemimpin parti Bersama, Rafizi Ramli menegaskan bahawa pendekatan ini bertujuan mengikis budaya politik feudal yang menyaksikan ahli politik sekadar menjadi tetamu VIP semasa pilihan raya, tetapi menghilang selepas menang.
"Ini satu budaya politik baru yang kami tekankan untuk mengembalikan konsep bahawa seorang ahli politik itu sebenarnya bekerja untuk rakyat," kata Rafizi sewaktu sidang media Bersama, di ibu pejabat parti itu di Puchong hari ini.
Dokumen pengisytiharan harta kesemua 16 calon berkenaan kini boleh diakses secara terbuka oleh orang ramai menerusi portal rasmi parti di bersama.org.
Dalam pada itu, Rafizi turut menyelar sikap parti-parti lain menurutnya enggan mewajibkan calon masing-masing mengisytiharkan harta.
"Pengisytiharan harta adalah satu kayu ukur komitmen setiap parti untuk mencegah rasuah dan politik wang.
"Keengganan Umno mengisytiharkan harta mengukuhkan pandangan rakyat mengenai imej yang sering dikaitkan dengan rasuah. Keengganan PAS pula mengesahkan bahawa parti itu tidak serius mengenai isu rasuah demi kekal fleksibel untuk jadi rakan kongsi Umno.
“Manakala keengganan PKR, DAP dan Amanah untuk membuat pengisytiharan harta bagi saya mendedahkan hipokrasi mereka dalam soal membanteras rasuah," katanya.
Sebelum ini, PKR mewajibkan calonnya mengisytiharkan harta bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), dengan sebahagian besar daripada 72 calon parlimennya menerbitkan pengisytiharan harta masing-masing.
/file/attachments/orphans/bersamapc1sded_752604.png)
Rafizi, yang ketika itu merupakan timbalan presiden PKR, turut berkata pada 2023 bahawa calon PKR dalam enam PRN diwajibkan mengisytiharkan harta mereka.
DAP dan Amanah pula tidak mempunyai kewajipan menyeluruh yang sama bagi calon mereka pada PRU15, walaupun wakil DAP sebelum ini telah mengisytiharkan harta selepas dilantik ke kabinet.
Selain ketelusan calon, parti Bersama turut memfokuskan anjakan dasar menerusi pembentangan Belanjawan Bayangan 2027 pada Okt 7, di ibu pejabat Bersama.
Mengulas mengenai belanjawan itu, Rafizi membidas tradisi belanjawan tahunan kerajaan yang disifatkan sering bertukar menjadi pentas pengagihan "gula-gula" pilihan raya berbanding menyelesaikan masalah struktur ekonomi.
“Perkara-perkara dasar ni contohnya soal cukai, soal peraturan, soal dasar pekerja, soal gaji.
“Ini semua perkara-perkara yang ada kesan kepada poket kita setiap hari tetapi tidak dibincangkan sangat.
“Jadi sebab itu akhirnya saban tahun belanjawan yang dibentangkan oleh kerajaan menjadi acara menunggu gula-gula yang bakal diumumkan,” ujarnya.
Rafizi menjelaskan bahawa bayaran faedah hutang kerajaan kini mencecah RM54 bilion setahun, susulan kadar faedah efektif sebanyak 4.4 peratus bagi pinjaman yang dibuat ketika Perikatan Nasional (PN) menjadi kerajaan.
“The elephant in the room ialah kadar faedah yang kita bayar tiap-tiap tahun RM54 bilion dan ia meningkat dan dijangka akan mencecah lebih RM70 bilion menjelang 2030.
“Jadi, itu sebenarnya isu yang sepatutnya menjadi tumpuan dalam belanjawan. Tapi saya yakin kalau kami tak bentangkan belanjawan bayangan, benda tu hilang macam itulah,” ucap Rafizi.
Dokumen penuh belanjawan berkenaan boleh dimuat turun orang awam di portal bersama.org bermula jam 9 malam pada hari peluncurannya.
/file/attachments/orphans/test1_716667.png)
