Malaysia mencipta sejarah dengan menumbangkan Vietnam dalam perlawanan penentuan tempat ketiga Fifa Asean Cup 2026 di Jakarta petang ini.

Ini adalah kemenangan pertama pasukan negara dalam tempoh 12 tahun, mengalahkan pasukan yang rangkingnya jauh lebih tinggi.

Malaysia berada di ranking 136 dunia manakala Vietnam pula di kedudukan 99 dunia.

Jaringan tunggal Harimau Malaya dijaringkan oleh penyerang muda negara Fergus Tierny yang kini beraksi di liga utama Cyprus.

Tierny menjaringkan gol pada minit ke-62 tidak lama selepas dia masuk menggantikan Bergson da Silva, penyerang naturalisasi baru yang gagal menjaringkan sebarang gol hari ini.

Lebih menarik, Malaysia bermain tanpa dua tonggak utamanya Dion Cools yang pulang awal selepas pasukan negara membelasah Singapura 6-0 sebelum ini, atas urusan keluarga.

Penyerang sensasi negara Arif Aiman Hanapi pula tidak menjadi sebahagian daripada percaturan jurulatih sementara Tan Cheng Ho hari ini.

Penguasaan bola hampir sama dalam perlawanan hari ini dengan Malaysia menguasai 49 peratus dan Vietnam pula dengan 51 perastus.

Kemenangan hari ini menjadikan Malaysia sebagai satu-satunya pasukan yang tidak bolos dalam kejohanan ini, yang julung-julung kalinya dianjurkan tahun ini dengan Indonesia menjadi tuan rumahnya.

Malaysia mencatat keputusan membanggakan dengan menang melawan Bangladesh (3-0) dan Singapura (6-0)manakala seri 0-0 dengan pasukan tuan rumah.

Perlawanan akhir akan berlangsung malam ini antara Indonesia dan Thailand.

Terdahulu, kejohanan ini mencetuskan kontroversi apabila Indonesia mendapat tambahan masa dari dua ke tujuh minit, yang dilihat sebagai 'skandal' bagi membolehkan pasukan itu menjaringkan lebih banyak gol. Malaysia dan Indonesia mempunyai mata kemenangan yang sama dan oleh itu, tiket ke peringkat akhir ditentukan melalui jumlah jaringan gol.