Sistem e-Jamin beroperasi lima tahun tanpa kontrak kerana ditafsir transaksi komersial - PAC
Sistem e-Jamin yang digunakan di 192 mahkamah di seluruh negara beroperasi selama lima tahun sejak 2020 tanpa perjanjian kontrak rasmi antara kerajaan dan syarikat pengendalinya, Dapat Vista Sdn Bhd, berikutan tafsiran awal bahawa ia adalah transaksi komersial.
Ahli Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) Syahredzan Johan berkata sistem itu pada asalnya diperkenal sebagai Pembuktian Konsep (POC) pada 2017 sebelum diperluas ke seluruh negara bagi pembayaran wang jaminan namun tidak disusuli dengan proses perolehan kerajaan yang teratur atau pemeteraian perjanjian rasmi.
Beliau berkata keadaan itu antara lain berpunca daripada pandangan Bahagian Penasihat Jabatan Peguam Negara (AGC) pada 20 Dis 2019 yang menganggap e-Jamin sebagai transaksi komersial semata-mata, dengan mahkamah hanya bertindak sebagai pengguna sistem.
“Jadi, ada satu dapatan, satu interpretasi daripada pihak AGC mengatakan tidak perlu ada satu perjanjian di antara kedua-dua pihak (kerajaan dan syarikat) kerana ia hanyalah satu transaksi komersial,” katanya ketika menggulung perbahasan Penyata Pengurusan Perkhidmatan Bayaran Wang Jaminan Mahkamah melalui Sistem e-Jamin di Dewan Rakyat hari ini.
Lanjutan itu, katanya pada 26 Dis 2019, Kementerian Kewangan (MOF) mengeluarkan surat tiada halangan terhadap cadangan e-Jamin tertakluk kepada pematuhan syarat-syarat kewangan, pemilikan data kerajaan dan penetapan perjanjian.
“Malangnya, daripada keluarnya surat yang kata tiada halangan itu sehinggalah kami adakan siasatan tersebut, tiada perjanjian yang dimeterai antara kedua-dua pihak,” katanya.
Syahredzan berkata PAC kemudian mendapati wujud percanggahan tafsiran antara agensi kerajaan berhubung status wang jaminan sebelum perkara itu dimuktamadkan melalui ulasan rasmi AGC.
Beliau berkata AGC, dengan sokongan Jabatan Perdana Menteri dan Jabatan Akauntan Negara, akhirnya mengesahkan bahawa wang jaminan yang dikutip menerusi Kanun Tatacara Jenayah adalah wang awam di bawah Seksyen 3 Akta Tatacara Kewangan 1957.
“Kesannya, tindakan memasukkan dana jaminan ke dalam akaun bank komersial swasta dan kegagalan memperakuinya ke dalam Akaun Amanah Disatukan adalah jelas melanggar Perkara 97(1) Perlembagaan Persekutuan dan Seksyen 7 Akta 61,” katanya.
Syahredzan berkata PAC tidak menafikan manfaat e-Jamin yang memudahkan proses pembayaran wang jaminan namun kemudahan itu tidak seharusnya mengatasi keperluan mewujudkan tadbir urus dan hubungan perundangan yang jelas antara kerajaan dengan pengendali sistem.
“... hanya kerana proses itu (pembayaran wang jaminan mahkamah) dimudahkan, ia tidak bermaksud kita boleh tolak tepi keperluan untuk mengadakan ataupun mewujudkan satu tadbir urus yang baik dan terdapat kepastian hubungan antara pihak kerajaan dan pihak pengendali,” katanya.
Beliau berkata PAC juga akan membuat perbincangan susulan dengan kerajaan berhubung segala perkara berkaitan sistem itu selepas pembentangan penyata berkenaan di Dewan Rakyat hari ini.
Sesi perbahasan penyata berkenaan menyaksikan tujuh Ahli Parlimen daripada blok kerajaan dan pembangkang mengambil bahagian antaranya RSN Rayer (PH-Jelutong), yang menggesa supaya maklumat mengenai Dapat Vista Sdn Bhd didedahkan di Dewan Rakyat.
Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) pula membangkitkan persoalan mengenai proses perolehan vendor sama ada ia dibuat menerusi tender terbuka.
Terdahulu, Pengerusi PAC Datuk Mas Ermieyati Samsudin dalam sidang media berkata sistem e-Jamin beroperasi tanpa Surat Pelantikan, Surat Setuju Terima, Surat Niat mahupun perjanjian kontrak rasmi dengan kerajaan.
Beliau berkata daripada baki deposit wang jaminan RM193.71 juta setakat 31 Dis 2024 dalam akaun, Dapat Vista didapati melaburkan RM130.8 juta wang berkenaan di bawah nama syarikat dan mengaut faedah antara RM4 juta hingga RM5 juta setahun.
Persidangan ditangguhkan hingga 10 pagi esok.
- Bernama
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2026/05/bae587742d3f32e03c7872f8d4c0e5f4.jpg)
