Polis rujuk siasatan terhadap Shuhaily kepada AGC esok
Polis akan merujuk siasatan berhubung dakwaan bahawa Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), Mohd Shuhaily Mohd Zain, melakukan serangan fizikal terhadap dua anggota polis di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kepada Pejabat Peguam Negara (AGC) esok.
Ketua Polis Negara, Mohd Khalid Ismail, berkata Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman sedang menyiasat bekas Pengarah JSJ itu di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan, yang meliputi kesalahan dengan sengaja menyebabkan kecederaan.
Dia turut mengesahkan bahawa laporan polis telah diterima daripada dua pegawai polis yang mendakwa berlaku serangan fizikal oleh Shuhaily dalam satu kejadian pada 28 September.
"Kertas siasatan akan dirujuk kepada AGC pada 6 Oktober 2026 untuk penelitian, nasihat dan arahan selanjutnya, selaras dengan Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan," kata Khalid dalam kenyataan media hari ini.
Khalid berkata setakat ini, keterangan telah direkodkan daripada 25 saksi, yang terdiri daripada pegawai dan anggota PDRM, pegawai AKPS, anggota polis bantuan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB), pekerja sistem pengendalian bagasi, pegawai perubatan serta saksi bebas.
Jika disabitkan kesalahan di bawah Seksyen 323, pesalah boleh dihukum penjara sehingga satu tahun, denda sehingga RM2,000, atau kedua-duanya sekali.
Dalam satu sidang media selepas klip video kejadian itu tular, Shuhaily menyatakan dia menyerahkan siasatan mengenai dakwaan tersebut kepada pihak berkuasa dan bersedia menerima sebarang keputusan kerajaan.
Shuhaily menyertai AKPS pada 1 Julai 2025 selepas dilantik sebagai ketua pengarah agensi itu bagi tempoh dua tahun, yang akan berakhir pada 30 Jun 2027.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2026/02/cf0667319e5a2e446ce8e866bd734b5f.jpg)
