Bukan lagi ‘kamikaze’, Bersama sasar tawan Selangor PRU16
Bersama memasuki pilihan raya Johor dengan apa yang disifatkan sendiri oleh parti itu sebagai “misi kamikaze”, namun kini parti itu sedang menyusun semula strategi pilihan rayanya dan menyasarkan matlamat yang jauh lebih besar.
Bersama merancang untuk bertanding di semua kerusi Parlimen dan DUN di Selangor pada pilihan raya akan datang, dengan matlamat akhir membentuk kerajaan negeri.
Bekas Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung, yang menyertai Bersama semalam, berkata parti itu melihat Selangor sebagai pangkalan penting dan berhasrat bertanding di semua kerusi pada pilihan raya umum dan pilihan raya negeri akan datang.
Dalam wawancara bersama Malaysiakini, Lee berkata langkah itu merupakan sebahagian daripada strategi pilihan raya Bersama yang dibahagikan kepada tiga fasa.
Fasa pertama, katanya, ialah apa yang pernah disifatkan oleh pemimpin Bersama, Rafizi Ramli, sebagai “misi kamikaze”, iaitu calon bertanding dalam pilihan raya Johor tanpa terlalu memikirkan sama ada mereka menang atau kalah, sebaliknya menunjukkan keyakinan terhadap perjuangan parti serta kesediaan untuk mengambil risiko.
/file/attachments/orphans/bersamapc1d2dsd_154080.png)
Lee berkata fasa kedua adalah untuk mendapatkan tapak kukuh dalam arena politik. Pada peringkat awal, Bersama mahu memastikan calon-calonnya dalam pilihan raya Melaka yang akan datang sekurang-kurangnya dapat mengekalkan deposit masing-masing.
“Sesetengah orang mungkin berkata, ‘Bukankah itu masih bermakna kalah?’ Ya, tetapi jika anda tidak kehilangan deposit, itu bermakna anda sudah menjadi satu kuasa yang tidak boleh dipandang ringan.
“Kemudian, sudah tentu, fasa ketiga adalah untuk memenangi kerusi,” kata Lee dalam podcast berbahasa Cina Malaysiakini yang disiarkan di YouTube, Spotify dan Apple Podcasts semalam.
Selangor ada potensi terbesar
Bekas pemimpin PKR itu berkata Bersama melihat Selangor sebagai negeri yang mempunyai potensi terbesar untuk parti itu mencipta kejayaan, selain beberapa tokoh utamanya turut berpusat di Lembah Klang.
Faktor berkenaan, katanya, menjadikan Selangor antara medan pertempuran paling penting bagi Bersama.
“Kami berharap dapat membentuk kerajaan, dan kami percaya Selangor berbeza daripada tempat lain.
“Pertama, kebanyakan pemimpin utama kami berada di Selangor. Kedua, pengundi Selangor lebih pragmatik dan fleksibel, kurang cenderung menunjukkan wala (kesetiaan membuta tuli) yang berlebihan atau terikat dengan satu parti atau pemimpin.
/file/attachments/orphans/yw1asded_340611.png)
“Kami berpendapat pengundi Selangor memberi ruang kepada kami untuk membayangkan apa yang mungkin berlaku,” katanya.
Lee berkata Bersama akhirnya mahu menjadi pilihan pertama pengundi Selangor atau sekurang-kurangnya alternatif yang mampu bersaing dengan blok politik sedia ada.
Dia menegaskan Bersama “sememangnya perlu menang” pada pilihan raya umum akan datang dan mesti mencipta kejayaan dalam perebutan kerusi Parlimen.
‘10 hingga 20 kerusi Parlimen sasaran realistik’
Ketika ditanya mengenai sasaran Bersama pada pilihan raya umum akan datang, Lee mengakui dia baru menyertai parti itu dan tidak mengetahui sama ada kepimpinan telah menetapkan sasaran rasmi jumlah kerusi.
Bagaimanapun, Lee berpendapat kemenangan antara 10 hingga 20 kerusi Parlimen merupakan sasaran yang agak realistik.
Dia menjangkakan sebahagian besar kerusi berkenaan akan datang dari kawasan bandar, disokong pengundi yang disifatkannya sebagai rasional, sederhana dan terdiri daripada pelbagai kaum.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2025/04/2acb6dadb44b0419e61b2190a2e3e046.jpg)
Lee berkata kepentingan politik 10 hingga 20 kerusi Parlimen tidak seharusnya dipandang ringan.
Dalam keadaan Parlimen tergantung atau mempunyai majoriti yang sangat tipis, katanya, blok yang mempunyai lebih 10 Ahli Parlimen boleh mempunyai pengaruh yang besar.
“Dalam banyak negara, 10 atau 20 kerusi boleh menjadi satu bentuk pengaruh. Anda mungkin tidak dapat menjadi perdana menteri… tetapi anda boleh menggunakan kedudukan itu untuk meningkatkan kuasa rundingan,” katanya.
Sasaran Melaka: Kekalkan deposit dahulu
Sebaliknya, Lee mengakui jangkaan Bersama bagi pilihan raya negeri Melaka akan datang jauh lebih sederhana apabila parti itu hanya bertanding di 16 kerusi.
Ditanya sama ada Bersama mempunyai prospek realistik untuk membentuk kerajaan negeri, Lee memberikan jawapan terus terang.
“Tidak, tetapi kami berharap tidak kehilangan deposit,” katanya sambil menambah Bersama berharap calon yang mempunyai pengaruh akar umbi dapat mencipta kejayaan, sekali gus membolehkan parti itu membina kekuatan secara berperingkat.
Antara calon yang dikenal pasti Bersama untuk pilihan raya Melaka ialah Dr Solehin Saleh, abang kepada Ketua Pemuda Umno, Dr Akmal Saleh.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2026/07/6a7e3777902a1d8a5dffe75e2e2c23f5.jpg)
Tiada rancangan bertanding di Sabah, Sarawak
Lee turut berkata Bersama buat masa ini akan memeberi tumpuan di Semenanjung Malaysia.
Menurutnya walaupun parti itu sudah mempunyai anggota di Malaysia Timur, Sabah dan Sarawak bukan keutamaan segera dan Bersama belum mempunyai rancangan untuk bertanding di kedua-dua negeri berkenaan.
Dari segi profil pengundi, Lee menyifatkan sasaran Bersama sebagai golongan yang berfikiran kritis, tidak mudah dipengaruhi ketakutan dan terbuka kepada lebih banyak pilihan politik.
Lee juga optimis terhadap Lembah Klang, dengan mengatakan ciri-ciri pengundi di kawasan itu memberi Bersama ruang yang lebih besar untuk berkembang.
Katanya, pengundi sedemikian boleh ditemui di sepanjang pantai barat serta beberapa pusat bandar di pantai timur.
Bagaimana Bersama mahu menawan pengundi Melayu?
Berhubung kritikan bahawa Bersama akhirnya mungkin hanya mengambil undi daripada Pakatan Harapan, Lee berkata parti itu perlu membuktikan bahawa ia juga mampu mendapatkan sokongan pengundi Melayu yang cenderung kepada BN atau Perikatan Nasional.
Katanya, sesetengah pengundi Melayu mungkin tidak menganggap PN atau BN sebagai pilihan ideal mereka, tetapi akhirnya memilih antara kedua-dua blok itu kerana tidak melihat adanya alternatif yang berdaya maju.
Bersama, katanya, berharap dapat menjadi alternatif berkenaan.
Lee turut menolak anggapan bahawa pengundi Melayu membentuk satu blok politik yang seragam, dengan mengatakan corak pengundian Melayu dari segi sejarah lebih pelbagai berbanding pengundi Cina.
"Pengundi Melayu tidak pernah menunjukkan keadaan di mana 90 peratus daripada mereka benar-benar menyokong satu blok, seperti yang kadangkala berlaku dalam kalangan pengundi Cina,” katanya.
Dia berkata Bersama sukar mencapai sasaran untuk memenangi 10 hingga 20 kerusi Parlimen sekiranya parti itu gagal membina sokongan merentasi kaum.
Kerjasama pilihan raya
Mengenai kemungkinan kerjasama pilihan raya, Lee berkata Bersama tidak mempunyai rancangan untuk bekerjasama dengan gabungan utama dan secara khusus menolak kerjasama dengan PAS.
“Kami sememangnya tidak akan bekerjasama dengan gabungan besar seperti BN atau PH,” katanya.

Bagaimanapun, dia tidak menolak kemungkinan mencapai persefahaman pilihan raya dengan parti-parti kecil di kawasan tertentu.
Katanya, keutamaan Bersama bukan untuk membentuk pakatan konvensional dengan parti-parti kecil, sebaliknya membina kekuatan sebagai kuasa politik arus perdana atas kapasitinya sendiri.
Bagaimanapun, katanya, penyelarasan atau bentuk persefahaman pilihan raya dengan parti-parti kuasa ketiga lain di kerusi tertentu masih boleh berlaku.
Lee turut menafikan bahawa Bersama hanya menyasarkan kerusi yang ditandingi PH.
Dia berkata parti itu bertanding di 15 kerusi dalam pilihan raya negeri Johor yang turut menyaksikan persaingan BN, PN dan PH.
Justeru, katanya, adalah tidak tepat untuk mengatakan Bersama hanya memberi tumpuan kepada usaha menjejaskan PH atau PKR, iaitu parti yang menjadi latar belakang kebanyakan pemimpin utamanya.
Dia menambah bahawa matlamat lebih besar Bersama adalah untuk membina kuasa politik baru yang berbeza daripada gabungan politik sedia ada di negara ini.
Dalam pilihan raya negeri Johor pada Julai lalu, Bersama gagal memenangi mana-mana daripada 15 kerusi yang ditandinginya, dengan semua calonnya kehilangan deposit.
/file/attachments/orphans/yw123sdas_665533.png)
