PARLIMEN l Tiada etnik Rohingya di antara 1,476 pelarian Myanmar yang dihantar pulang dari Malaysia pada 29 Sept, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat hari ini.

Kenyataannya menyusul selepas timbul persoalan mengenai operasi penghantaran pulang itu di tengah-tengah kebimbangan terhadap keselamatan pelarian serta dakwaan bahawa peningkatan kehadiran Rohingya menimbulkan risiko keselamatan negara.

"Dalam rekod yang kita kesan setakat ini, belum ada rakyat Rohingya yang dibawa pulang tapi ini masih lagi dalam perbincangan.

"Saya percaya Menteri Luar (Mohamad Hasan) dan saya, ketika bertemu dengan Presiden, Min Aung Hlaing dalam beberapa hari ini, akan juga bangkitkan isu ini supaya dapat ditangani dengan sebaik mungkin,” kata Anwar bagi menjawab soalan Suhaizan Kaiat (PH-Pulai) semasa Waktu Pertanyaan Menteri.

Perdana Menteri, Anwar Ibrahim

Anwar berkata perjanjian penghantaran pulang itu merangkumi warganegara Myanmar daripada pelbagai komuniti etnik.

“Setakat ini, di bawah perjanjian kita, kita menyatakan warganegara Myanmar akan dihantar pulang, sama ada mereka etnik Rakhine, Karen atau Shan, mahu pun Rohingya.

“Satu perkara penting ialah kita menjamin mereka hanya akan dihantar pulang dengan persetujuan mereka. Ini menjamin keselamatan mereka dan melindungi hak asasi mereka,” katanya.

Operasi pada 29 Sept itu merupakan fasa pertama bagi program yang melibatkan 5,000 orang. Menurut Kementerian Dalam Negeri, kumpulan awal itu dipilih daripada senarai disahkan yang dibekalkan oleh Myanmar dan dihantar pulang menaiki kapal tentera laut Myanmar.

Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) menyuarakan kebimbangan terhadap penghantaran pulang itu di tengah-tengah konflik berterusan di Myanmar serta keadaan hak asasi manusia dan kemanusiaan yang buruk.

Amnesty International Malaysia dan Asylum Access Malaysia turut mempersoalkan sama ada penghantaran pulang itu benar-benar dibuat secara sukarela dalam keadaan sedemikian, walaupun terdapat jaminan kerajaan bahawa pihak yang terlibat menandatangani dokumen persetujuan.

Ketua Pembangkang, Hamzah Zainudin

Dalam soalan tambahan, Hamzah Zainudin (PN-Larut) berhujah bahawa pengeluaran dokumen pengenalan UNHCR kekal menjadi kebimbangan utama, dengan memetik kedudukan Malaysia sebagai negara yang tidak menandatangani Konvensyen Pelarian.

“Awal tadi, dalam jawapan, anda kata tiada Rohingya yang dihantar pulang. Isunya ialah Rohingya menjadi masalah di negara ini, dan punca utamanya perlu diteliti dengan lebih mendalam.

“Masyarakat itu berada di Malaysia menggunakan kad UNHCR. Perkara inilah yang menimbulkan masalah kepada kita. Saya memuji Kementerian Dalam Negeri kerana menyediakan pengenalan kepada Rohingya melalui sistem DPP,” kata bekas menteri dalam negeri itu.

Dia merujuk kepada program Dokumen Pendaftaran Pelarian Kementerian Dalam Negeri yang dilancarkan pada 1 Jan, yang melibatkan pendaftaran identiti dan biometrik, saringan serta penentuan status pelarian. Pihak yang diiktiraf di bawah program itu menerima dokumen yang membenarkan tinggal sementara.

“Soalan saya kepada kerajaan: Bagaimana kita boleh menghentikan UNHCR daripada mengeluarkan kad dan menyerahkan tugas itu kepada Kementerian Dalam Negeri untuk mengelakkan kekeliruan?

“Isu sebenar ialah pengeluaran kad UNHCR,” tegas Hamzah.

Membalas kenyataan Hamzah, Anwar bersetuju bahawa Malaysia patut diberi kuasa untuk menguruskan hal ehwal pelarian dalam negara, tetapi berkata “isu warisan” itu memerlukan penglibatan diplomatik, termasuk dengan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Semalam, Kementerian Luar memberitahu Parlimen bahawa ia sedang menyemak semula peranan UNHCR bagi mengurangkan kebergantungan secara bertahap kepada agensi itu memandangkan kerajaan sedang membina keupayaan sendiri untuk menguruskan pelarian dan pencari suaka.

Kementerian itu mengakui bahawa UNHCR telah beroperasi di Malaysia sejak 1975, walaupun negara ini bukan pihak kepada Konvensyen Pelarian 1951 atau Protokol 1967.