RUU dana politik bakal dedah dalang asing biayai parti tempatan
Parti-parti politik mungkin diwajibkan merekodkan penerimaan dana asing secara berkala, termasuk yang diterima melalui pihak ketiga.
Perkara itu antara cadangan dalam rang undang-undang (RUU) pendanaan politik yang mahu diperkenalkan kerajaan.
“Skop ini dicadangkan terpakai di peringkat persekutuan dan negeri serta sepanjang keseluruhan kitaran politik, iaitu sebelum, semasa dan selepas pilihan raya, bagi memastikan sumber dan penggunaan dana politik dapat dipantau dengan berkesan,” kata Menteri undang-undang Azalina Othman Said.
Dalam jawapan bertulisnya di parlimen hari ini, Azalina berkata RUU itu dicadangkan mewajibkan penerimaan dan penggunaan dana politik melalui saluran rasmi yang boleh direkodkan, dijejaki dan diaudit.
Ini, katanya, termasuk pelaporan berkala, pengemukaan laporan kewangan yang diaudit secara tahunan serta pendedahan maklumat dana politik kepada awam, tertakluk kepada butiran dan parameter yang akan dimuktamadkan dalam proses penggubalan RUU.
Syor-syor dasar yang dikenal pasti itu seterusnya akan dibentangkan kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Berkaitan Hak Asasi Manusia, Pilihan Raya dan Reformasi Institusi (JKPK) dalam masa terdekat untuk penelitian, sebelum dimuktamadkan untuk pertimbangan kabinet.
Azalina berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Idris Ahmad (PAS-Bagan Serai) yang mahu tahu sama ada pendedahan sumber dana dan perbelanjaan wajib didedahkan dalam RUU itu,
Naib presiden PAS itu juga mahu tahu berkaitan mekanisme kerajaan untuk menghalang dana asing disalurkan melalui NGO atau pihak ketiga bagi membiayai kempen atau aktiviti politik yang memanfaatkan parti atau calon tertentu.
Sementara itu, Azalina memetik dapatan kajian bahawa 88.4 peratus daripada 3,422 responden dan serta sesi libat urus bersama 1,544 pihak berkepentingan menyokong keperluan undang-undang khusus berkaitan pendanaan politik.
Dapatan itu diperoleh hasil Konvensyen Pendanaan Politik 2026 pada 8 September dengan kerjasama Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan Institute for Democracy and Economic Affairs (Ideas).
Bulan lepas, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) diarah mendapatkan maklum balas rasmi secara bertulis daripada 72 parti politik di Malaysia berkaitan cadangan penggubalan RUU sebelum dibentangkan kepada kabinet.
Mei lalu, Azalina yang juga menteri Umno berkata partikan tidak mengemukakan sebarang bantahan rasmi terhadap cadangan yang masih berada di peringkat kajian oleh kerajaan.
RUU itu diperkenal bagi mengelakkan rasuah dan mengekang campur tangan asing dalam kerajaan.
Kes berkaitan dana asing paling terkenal melibatkan bekas perdana menteri Najib Razak yang mendakwa menerima derma RM2.6 bilion daripada Arab Saudi.
Bagaimanapun, perkara itu ditolak di mahkamah.
/file/attachments/orphans/am1f3_758258.png)
