Pelajar tingkatan satu parah jatuh tingkat tiga disyaki tekanan peperiksaan
Seorang pelajar lelaki tingkatan satu cedera selepas dipercayai terjatuh dari tingkat tiga di sebuah sekolah di Kulim, Ahad lepas.
Ketua Polis Daerah Kulim Superintenden Syamsul Sinring berkata kejadian berlaku pada 3.30 petang dan pelajar berusia 13 tahun ditemukan terbaring di aras bawah berhampiran tangga Blok E sekolah.
“Kejadian disedari seorang guru yang memaklumkan guru penolong kanan sesi petang sebelum menghubungi polis.
“Guru itu memaklumkan pelajar itu masih sedarkan diri dan boleh bercakap semasa ditemui sebelum dihantar ke Hospital Kulim,” katanya dalam kenyataan di Kulim hari ini.
Syamsul berkata pelajar itu dipercayai mengalami tekanan berkaitan pencapaian akademik selain bimbang tidak dapat memenuhi harapan ibu bapanya menjelang peperiksaan.
“Namun siasatan lanjut masih dijalankan dan beberapa individu termasuk ibu bapa pelajar itu dipanggil untuk memberikan keterangan,” katanya.
Syamsul berkata remaja itu masih dirawat di zon merah Hospital Kulim dan mengalami kecederaan serius termasuk pendarahan pada otak dan patah tulang muka.
“Pelajar itu juga patah tulang rusuk pertama sebelah kiri, mengalami kecederaan pada kedua-dua belah paru-paru, kecederaan limpa, patah tulang pelvis serta patah kedua-dua kaki,” katanya.
Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 507D(2) Kanun Keseksaan
- Bernama
/file/attachments/orphans/968a9ecda9e5dbc8b64c552848fe5d59_306243.jpg)
