Kerajaan mahu beri menteri kuasa bubar badan sukan dianggap mudaratkan keselamatan, moral
PARLIMEN | Putrajaya berhasrat memberikan kuasa kepada menteri untuk membatalkan pendaftaran badan sukan yang dianggap memudaratkan keselamatan negara, ketenteraman awam, atau moraliti.
Fasal tersebut diperincikan dalam satu rang undang-undang (RUU) mengenai cadangan pindaan kepada Akta Pembangunan Sukan 1997, yang dibentangkan oleh Menteri Belia dan Sukan, Taufiq Johari (Pakatan Harapan-Sungai Petani) di Parlimen semalam.
Susulan bacaan kali kedua hari ini, sejumlah 31 Ahli Parlimen dijangka akan membahaskan RUU tersebut.
Di bawah cadangan Seksyen 41A, menteri yang bertanggungjawab terhadap sukan boleh, selepas berunding dengan Pesuruhjaya Sukan, mengeluarkan pengisytiharan melalui warta bahawa mana-mana badan sukan yang dipercayai digunakan bagi "tujuan yang memudaratkan atau tidak selaras dengan" keselamatan negara, ketenteraman awam, atau moraliti adalah menyalahi undang-undang.
Berdasarkan Seksyen 41A(2) yang dikemukakan, perintah yang dibuat di bawah seksyen tersebut akan menyebabkan pembatalan serta-merta pendaftaran badan sukan berkenaan.
Seksyen 41 Akta sedia ada meliputi kuasa am menteri, yang boleh—setelah berpuas hati bahawa terdapat keadaan khas untuk berbuat demikian—mengecualikan mana-mana orang daripada semua atau mana-mana peruntukan Akta tersebut.
Seksyen 41(2) menyatakan bahawa menteri merupakan "pihak berkuasa muktamad" berhubung sukan dan perkara berkaitan sukan, tertakluk kepada peruntukan Akta serta sebarang peraturan yang dibuat berdasarkan perundangan tersebut.
Akta itu juga menetapkan bahawa sebaik sahaja pendaftaran sesebuah badan sukan ditolak, dibatalkan, atau digantung oleh Pesuruhjaya Sukan badan tersebut tidak lagi dibenarkan terlibat dalam sebarang aktiviti di dalam atau di luar Malaysia.
Selain pemberhentian pembiayaan kerajaan, Majlis Sukan Negara, atau mana-mana badan berkanun kepada badan sukan tersebut, pemegang jawatan entiti yang terlibat juga berdepan risiko denda antara RM5,000 hingga RM50,000 jika didapati bersalah kerana gagal mematuhi peraturan susulan pembatalan pendaftaran itu.
Fasal 8 dalam rang undang-undang pindaan mengenai Seksyen 25A yang baharu bertujuan untuk memperuntukkan kesan-kesan akibat pembatalan pendaftaran badan sukan oleh Pesuruhjaya Sukan atau Menteri.
Ini termasuklah pemindahan hak milik harta kepada Ketua Pengarah Insolvensi bagi tujuan penggulungan hal ehwal badan sukan yang terlibat, dengan pihak berkuasa tersebut turut diberi kuasa untuk meminta sebarang maklumat berkaitan harta, hal ehwal, perniagaan, akaun atau buku badan sukan berkenaan.
Cadangan Seksyen 25B juga menetapkan prosedur yang perlu dilaksanakan oleh badan sukan yang telah dibatalkan pendaftarannya—termasuk pemindahan hak milik aset, hutang, dan liabilitinya—sebelum ia boleh menubuhkan badan sukan baru sebagai pengganti.
Prosedur tersebut, sekiranya diluluskan oleh Dewan Rakyat, akan tertakluk kepada permohonan oleh badan sukan baru itu kepada Ketua Pengarah Insolvensi, yang kemudiannya akan memohon perintah daripada Mahkamah Tinggi.
Secara berasingan, rang undang-undang ini memperkenalkan undang-undang baru mengenai penguatkuasaan dan penyiasatan, dengan pegawai awam yang dilantik diberi kuasa sewajarnya untuk menjalankan siasatan atau tindakan penguatkuasaan di bawah Akta tersebut.
Di bawah Seksyen 32D(1), mana-mana individu yang terlibat dalam sesuatu kes boleh dipanggil oleh pegawai-pegawai berkenaan, yang turut diberi kuasa untuk meminta dan menyita dokumen daripada mana-mana individu sebagai sebahagian daripada siasatan di bawah Akta tersebut.
Walaupun keterangan yang direkodkan dan bahan yang disita boleh diterima sebagai bukti di mahkamah, pegawai juga boleh memohon waran geledah daripada majistret.
Sementara itu, Fasal 11 bertujuan untuk memasukkan perenggan baru ke dalam Seksyen 38(2) mengenai kuasa menteri untuk membuat peraturan, dengan rang undang-undang tersebut mencadangkan agar menteri diberi kuasa untuk menetapkan undang-undang berkaitan pematuhan kewajipan antarabangsa mengenai anti-doping serta sebarang perkara yang berkait dengan sukan yang selamat.
Rang undang-undang ini akan melibatkan perbelanjaan tambahan kerajaan, namun jumlahnya masih belum ditentukan.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2024/10/2eaa8204bec9d9720ca48372b5abdf9a.jpg)
