KDN laksana pemeriksaan 100 peratus penumpang, bagasi ke destinasi berisiko tinggi
Kementerian Dalam Negeri (KDN) kini melaksanakan pemeriksaan fizikal 100 peratus terhadap penumpang dan bagasi bagi penerbangan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke destinasi yang diklasifikasikan berisiko tinggi sebagai langkah memperketat kawalan keselamatan lapangan terbang.
Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail, berkata saringan berasaskan risiko itu merangkumi pemeriksaan fizikal penumpang dari kepala hingga kaki (head to toe), selain pemeriksaan bagasi.
Katanya, klasifikasi destinasi berisiko tinggi dibuat berdasarkan data dan kes penyeludupan, termasuk beberapa destinasi seperti Indonesia.
“Sekarang ini outboundnya dari KLIA kita lakukan saringan fizikal pat-down, head to toe terhadap orang dan juga pemeriksaan bagasi 100 peratus,” katanya pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.
Saifuddin menjawab soalan Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) mengenai status pelaksanaan 17 syor penambahbaikan bagi memperkukuh kawalan keselamatan, saringan dan pengurusan risiko di KLIA serta pintu masuk antarabangsa negara.
Dia berkata langkah pemeriksaan itu adalah antara 17 syor yang diputuskan kerajaan susulan beberapa insiden yang menimbulkan kebimbangan terhadap integriti kawalan keselamatan negara.
Sementara itu, Saifuddin berkata saringan dadah terhadap kakitangan penerbangan turut diperketatkan, termasuk juruterbang, kru kabin dan kakitangan pengendali darat.
/file/1037/4a9335b087868b40652a58e13797de2e.jpg)
Katanya, saringan dilakukan pada peringkat pra-pengambilan, termasuk semakan rekod dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM), selain pemeriksaan berkala dan secara rawak.
“Setelah dia buat saringan, untuk mengesahkan dapat atau tidak, dia kena semak dengan pihak polis untuk kita sahkan sama ada dia punya rekod ataupun tidak.
“Kemudian termasuklah kita akan buat pemeriksaan berkala dan secara rawak,” katanya.
Saifuddin berkata pelaksanaan saringan itu membabitkan kerjasama Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), PDRM dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).
Polis siasat kemungkinan rakaman CCTV dirakam semula
Sementara itu, Saifuddin berkata siasatan polis berhubung kebocoran rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang memaparkan Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), Mohd Shuhaily Mohd Zain, di KLIA turut meneliti kemungkinan rakaman itu diperoleh melalui kaedah secondary recording.
Katanya, siasatan turut melihat kemungkinan kebocoran berpunca daripada sistem kira-kira 5,000 kamera CCTV di KLIA yang dikendalikan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB).
“Apakah kebocoran bermula di situ? Atau membawa kepada secondary recording dan sebagainya. Itu juga aspek yang sekarang ini menjadi fokus jawatankuasa siasatan terhadap kes itu,” katanya.
Dia berkata demikian ketika mengulas video tular yang memaparkan Shuhaily memarahi seorang individu di Terminal 1 KLIA.
Video itu tular di media sosial awal bulan ini dan memaparkan Shuhaily berdepan seorang warga asing ketika operasi di Terminal 1 KLIA pada 28 September.
AKPS sebelum ini mengesahkan rakaman itu adalah rakaman sebenar daripada sistem CCTV KLIA.
/file/attachments/orphans/police1_113989.png)
Menurut Shuhaily, dia bersama pasukan AKPS ketika itu menjalankan tinjauan kesiapsiagaan operasi sempena ketibaan delegasi dan kru Formula 1 Bahrain Grand Prix sebelum melaksanakan penguatkuasaan terhad bersama Aviation Security (AVSEC) terhadap kegiatan sindiket “ulat” warga asing.
Shuhaily berkata ketika pemeriksaan dan soal selidik terhadap seorang warga asing dijalankan, dua individu tidak dikenali dilihat merakam kejadian itu dan diarahkan memadamkan rakaman mereka.
Dia kemudian membuat laporan polis selepas video berkenaan tersebar, manakala AKPS turut membuat laporan berhubung kemungkinan terdapat usaha mencemarkan imej agensi itu dan Shuhaily.
Shuhaily berkata klip yang tular itu bukan daripada sumber asal CCTV, sebaliknya dirakam semula menggunakan peranti lain sebelum disebarkan.
Dalam perkembangan lain, Ketua Polis Negara, Mohd Khalid Ismail, dilaporkan berkata pihaknya akan merujuk siasatan terhadap dakwaan Shuhaily melakukan serangan fizikal terhadap dua anggota polis di KLIA kepada Pejabat Peguam Negara (AGC) esok.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2025/09/9b071b7b0fbce5d0d24cea1e6eca0bf7.jpg)
Mohd Khalid berkata Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman sedang menyiasat bekas Pengarah JSJ itu mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan, berkaitan kesalahan dengan sengaja menyebabkan kecederaan.
Beliau turut mengesahkan polis menerima laporan daripada dua pegawai yang mendakwa berlaku serangan fizikal oleh Shuhaily dalam kejadian pada 28 September.
Mengulas lanjut, Saifuddin berkata punca kebocoran rakaman itu kini termasuk dalam skop siasatan polis, selain rakaman percakapan dan bukti lain.
Katanya, JSJ sedang melengkapkan kertas siasatan sebelum menyerahkannya kepada Jabatan Peguam Negara untuk tindakan selanjutnya.
/file/attachments/orphans/homeministry2_291033.png)
