Pentadbiran Anwar Ibrahim kekal dengan pendiriannya untuk tidak memberikan peruntukan pembangunan kawasan yang saksama kepada semua anggota parlimen.

Sikap berkeras ini berterusan meskipun wujud ancaman bahawa gabungan pimpinannya, PH, berisiko menjadi pembangkang pada pilihan raya umum akan datang sekiranya tewas kepada gabungan Umno-PAS, yang mereka kelak boleh menjadi mangsa kepada dasar yang diamalkan sekarang.

Tindakan ini juga memperlihatkan keengganan berterusan pentadbiran Anwar untuk menunaikan janji utama kempen PH pada PRU lalu.

Buat masa ini, hanya anggota parlimen kerajaan yang menerima peruntukan berkenaan, manakala peruntukan di negeri-negeri pembangkang diuruskan oleh pegawai penyelaras yang dilantik kerajaan. Malah, kerajaan turut menarik balik kawalan peruntukan daripada anggota parlimen PKR yang ingkar.

Keadaan ini menghadkan keupayaan anggota parlimen untuk berkhidmat kepada pengundi di kawasan masing-masing, sekali gus memberi kelebihan ekonomi kepada kerajaan persekutuan untuk mempengaruhi pengundi.

Semalam, dua anggota parlimen — Kalam Salan (PN-Sabak Bernam) dan Abdul Latiff Abdul Rahman (PN-Kuala Krai) — mendesak kerajaan agar memjadikan pemberian peruntukan kawasan yang saksama sebagai undang-undang supaya ia dikuatkuasakan secara rasmi dan bukan mengikut budi bicara pihak eksekutif.

Dalam jawapan bertulis berasingan bertarikh semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak) Mustapha Sakmud berkata pendirian Putrajaya adalah bahawa peruntukan pembangunan kawasan bertujuan untuk rakyat dan tidak semestinya disalurkan melalui anggota parlimen.

Mustapha Sakmud

Atas dasar itu, Mustapha — yang juga pengerusi PKR Sabah — berkata kerajaan memastikan semua kawasan Parlimen menerima peruntukan secara saksama.

Dia turut menggunakan alasan berkenaan untuk menolak gesaan Abdul Latiff supaya pembayaran tunggakan peruntukan dibuat kepada anggota parlimen pembangkang.

Bagaimanapun, desakan agar peruntukan diberikan secara saksama bukan sahaja diperjuangkan oleh pembangkang.

Setiausaha Agung DAP Anthony Loke dan Pengerusi DAP Gobind Singh Deo dalam tempoh dua bulan lalu turut mendesak Putrajaya menggubal undang-undang peruntukan saksama bagi menunaikan janji kempen PRU15.

Setakat ini, hanya Perak dan Kelantan yang menyediakan peruntukan pembangunan kawasan secara saksama kepada wakil rakyat kerajaan dan pembangkang — itu pun sekadar melalui arahan eksekutif.