Isu karikatur monyet, kambing selesai, Fadhli-Nabil akur padam kontroversi
Naib Ketua Pemuda PKR (AMK), Nabil Halimi, hari ini memohon maaf kepada Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari, berhubung isu karikatur monyet yang mencetuskan kontroversi sebelum ini.
Permohonan maaf itu antara persetujuan penyelesaian yang dicapai mereka berhubung saman fitnah di Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini.
“Pihak-pihak (bertelagah) telah bersetuju untuk menyelesaikan pertikaian ini secara baik dan menamatkan perkara ini bagi membolehkan masing-masing memberikan tumpuan kepada perkara-perkara lain yang lebih mustahak, khususnya yang melibatkan kepentingan rakyat dan negara.
“Tanpa sebarang pengakuan liabiliti dan atas semangat penyelesaian secara baik, Nabil mengambil pendekatan terbuka dan berlapang dada untuk memohon maaf kepada Ahmad Fadhli atas kenyataan yang telah menimbulkan pertikaian antara pihak-pihak.
“Langkah ini diambil dengan hasrat untuk menutup pertikaian tersebut secara baik dan membolehkan kedua-dua pihak bergerak ke hadapan,” kata mereka dalam satu kenyataan bersama.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2025/10/0c137f9b3f7707842f6afeae9ab1b22e.jpg)
Pada 26 Julai tahun lalu, iaitu dua hari sebelum rundingan gencatan senjata antara Thailand dan Kemboja di Putrajaya, Ahmad Fadhli memuat naik karikatur menunjukkan seekor kambing berebut sebiji pisang bersama seekor biri-biri sambil disaksikan monyet yang digambarkan sebagai hakim.
Mengiringi hantaran itu ialah tangkap layar laporan berita mengenai krisis anggota negara Asean itu yang meragut puluhan nyawa, serta kapsyen “kambing dan biri-biri seeloknya tidak perlu kepada monyet untuk menjadi orang tengah dalam kes berebut pisang.”
Hantaran oleh ahli Parlimen Pasir Mas itu menimbulkan kemarahan pelbagai pihak, antaranya kerana ia dianggap mempersenda usaha diplomatik Malaysia, khususnya Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang menjadi orang tengah untuk mendamaikan dua negara berjiran yang berperang.
Susulan itu, Nabil menyelar Ahmad Fadhli dan melabelkannya sebagai “pengkhianat negara” yang harus segera diambil tindakan oleh polis.
Pemimpin AMK itu kemudiannya pada Ogos tahun lalu, menerima notis tuntutan (LOD) daripada Ahmad Fadhli yang menuntut permohonan maaf dan ganti rugi sebanyak RM1 juta.
Mengulas lanjut, kenyataan bersama hari ini menyebut kedua-dua pihak bersetuju untuk menamatkan pertikaian dengan Ahmad Fadhli bersetuju untuk menarik balik saman yang difailkan setelah terma persetujuan direkodkan oleh ahkamah.
Wakil rakyat PAS itu diwakili oleh peguam Mardhiyyah Johari dan Ahmad Amzar Ahmad Azlan manakala Nabil diwakili peguam Khairul Naim Rafidi dan Asyraaf Abu Bakar Hamzah.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2025/08/745c46d9a75a41e8c0c61129ccd24d38.jpg)
