Penjual ikan didenda RM5,000 akibat intai isteri jiran mandi
Mahkamah Majistret di Kuala Krai hari ini mendenda seorang penjual ikan RM5,000 selepas mengaku bersalah atas pertuduhan mengintai seorang wanita yang juga isteri jirannya, bulan lepas.
Majistret Rais Imran Hamid turut memerintahkan Tuan Ahmad Farid Tuan Mat, 36, dipenjara sembilan bulan sekiranya gagal menjelaskan denda berkenaan.
Lelaki itu didakwa menghendap mangsa berusia 26 tahun ketika sedang mandi, di sebuah rumah di Jalan Halimah Guchil di Kuala Krai, kira-kira 11.30 pagi pada 28 Sept dan perbuatan itu dilakukan dengan niat atau mengetahui ia menyebabkan mangsa mengalami ketakutan, kerisauan atau bimbang akan keselamatan diri.
Pertuduhan mengikut Seksyen 507A (1) Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah seksyen sama, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda atau kedua-duanya, jika disabitkan kesalahan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Mazlinda Mohd Nor memohon hukuman setimpal dikenakan atas faktor kepentingan awam dan sebagai pengajaran agar lelaki itu tidak mengulangi kesalahan tersebut.
Bagaimanapun, peguam Farazalila Fauzi daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) yang mewakili Tuan Ahmad Farid, memohon denda minimum atas alasan anak guamnya masih bujang dan berpendapatan sekitar RM50 sehari sebagai peniaga ikan, selain perlu menanggung ibu berusia 66 tahun yang menghidap kanser.
- Bernama
/file/299/2b96fabc59f442dccf70a196530320e9.gif)
