Bersatu hari ini mencabar PAS mengemukakan bukti bagi menunjukkan PN – yang kini dikuasai mereka – memang diuruskan dengan mematuhi perlembagaan parti gabungan tersebut.

Ketua Penerangan Bersatu, Tun Faisal Ismail Aziz, berkata PAS tidak sepatutnya mempersoalkan tindakan mereka membuat aduan kepada Jabatan Pendaftar Pertubuhan Malaysia (ROS).

Apa yang perlu dibuat, kata Tun Faisal, ialah menjawab satu per satu dakwaan pelanggaran perlembagaan yang dibangkitkan Bersatu kepada ROS.

Sebagai parti anggota PN yang masih diiktiraf, katanya, Bersatu berhak membuat aduan sekiranya berlaku tindakan yang dianggap menjejaskan kedudukan dan haknya dalam parti tersebut.

“Kenapa Bersatu membuat aduan?

“Bersatu membuat aduan kepada ROS kerana berlaku pelbagai pelanggaran terhadap Perlembagaan PN serta tindakan-tindakan yang menjejaskan kedudukan dan hak kami,” katanya dalam kenyataan.

Antara dakwaan yang dibangkitkan Bersatu termasuk pelanggaran perlembagaan, melengah-lengahkan keputusan Majlis Tertinggi (MT) PN, PAS mengambil tindakan secara unilateral, serta mengadakan rundingan dengan pihak luar tanpa pengetahuan MT.

Bersatu turut mendakwa berlaku tindakan menindas dan tidak adil oleh PAS selaku pengerusi dan pentadbir PN, serangan terbuka terhadap parti itu serta penafian berulang kali terhadap haknya.

Tun Faisal turut mendakwa PAS tidak melibatkan Bersatu dalam mesyuarat pusingan kedua Jawatankuasa Perundingan Kerusi PN untuk menghadapi PRN Negeri Sembilan serta Mesyuarat Luar Biasa MT PN sebelum pilihan raya itu.

Menurutnya, ROS mempunyai kuasa untuk memastikan sesebuah organisasi mencapai matlamat penubuhannya serta ditadbir mengikut perlembagaan serta aturan yang ditetapkan.

Pada masa sama, Tun Faisal menolak dakwaan yang mengaitkan Bersatu tidak mempunyai hak untuk mempersoalkan pengurusan PN, dengan mendakwa PAS sendiri pernah mengadakan rundingan dengan Umno dan pihak luar PN dalam beberapa keadaan.

“Jika guna hujah (Setiausaha Agung PAS) Takiyuddin (Hassan), PAS terlebih dulu hilang keanggotaan mereka PN,” katanya.

Dia turut menegaskan, Bersatu mempunyai hak untuk mempertimbangkan jalan keluar daripada kemelut berkenaan, termasuk melalui kaedah perundangan atau meneroka kerjasama baru.

Menurutnya, PAS tidak seharusnya memainkan naratif seolah-olah parti itu menjadi mangsa tanpa menjawab dakwaan yang dikemukakan.

“Takiyuddin hanya perlu menjawab perkara yang mudah: benar atau tidak aduan-aduan Bersatu terhadap pengurusan PN?

“Jika benar PAS selaku pentadbir PN tidak melakukan sebarang pelanggaran Perlembagaan PN, kemukakan sahaja penjelasan, minit mesyuarat, surat-menyurat dan dokumen yang berkaitan untuk menafikan setiap satu dakwaan tersebut.

“Bukannya susah.

“Persoalannya, Takiyuddin ada atau tidak bukti-bukti dan dokumen yang menunjukkan PAS – selaku selaku pengerusi dan pentadbir PN – bertindak mengikut perlembagaan dan undang-undang serta tidak melakukan sebarang kesalahan?

“Jika ada, jawablah ROS tanpa banyak alasan,” katanya.